Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menunjukkan sebuah kapal tunda yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Sekinchan, Sabak Bernam kira-kira jam 1.30 petang semalam.

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah kapal tunda bersauh tanpa kebenaran di perairan Sekinchan, Sabak Bernam kira-kira jam 1.30 petang semalam.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, penahanan itu hasil maklumat Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang yang mengesan kedudukan kapal mencurigakan sekitar jam 11.01 pagi.

“Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) memaklumkan, bot tunda itu tidak mempunyai kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Bot Maritim Malaysia Benteng 01 yang melakukan rondaan telah diatur gerak ke lokasi seterusnya menahan kapal tunda yang tertera nama MV HUA AO.

“Ketika ditahan, kapal itu berada di kedudukan lebih kurang 16.7 batu nautika barat daya Sekinchan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kapal tunda MV HUA AO yang ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Sekinchan, Sabak Bernam kira-kira jam 1.30 petang semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati, kapal tunda itu dikendalikan oleh 16 kru warga China dan kesemuanya mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Bagaimanapun katanya, nakhoda kapal terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.

“Justeru mereka melanggar peraturan di bawah seksyen 491B (1) (L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,” katanya.

“Perintah penahanan ke atas kapal tersebut dikeluarkan dan kapten serta seorang kru kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, Maritim memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan kesejahteraan perairan negara sentiasa terpelihara.

“Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan mematuhi peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette