Kasim (dua kiri) menyampaikan surat tawaran kemasukan ke UMS kepada Mursyazliana (tengah) sambil disaksikan Raman (dua kanan) dan Rosalam (tepi kanan).

PUTATAN – Seorang pelajar B40, Mursyazliana Bulkia bertuah apabila menerima surat tawaran kemasukan ke Universiti Malaysia Sabah daripada naib canselor, Prof. Datuk Dr Kasim Mansor di kediamannya di Kampung Lembising, di sini.

Mursyazliana adalah salah seorang penerima Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), kelmarin.

Kasim turut menyampaikan bantuan wang tunai RM1,000 dan bakul makanan bagi memudahkan urusan awal mengikuti pengajian di UMS.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj Sarbatly dan Pegawai-pegawai Utama UMS.

Untuk rekod, Program Sulung merupakan cetusan idea Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad bertujuan membantu individu pertama dalam keluarga daripada golongan B40 untuk ke menara gading selari dengan semangat #KPTPrihatin supaya pelajar B40 yang cemerlang dapat meneruskan pengajian biarpun menghadapi kekangan kewangan sekali gus sebagai motivasi kepada ahli keluarga dan komuniti setempat.

Pelajar terpilih bukan sahaja mendapat laluan khusus kemasukan pelajar B40 ke Universiti Awam (UA) tetapi turut ditawarkan biasiswa, elaun bulanan, asrama dan pementoran sehingga mereka mendapat pekerjaan.

Pada sesi kemasukan pelajar baharu 2022/2023, UMS sebagai salah sebuah UA perintis program SULUNG telah menawarkan tempat kepada 10 pelajar B40. – MalaysiaGazette