Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Golongan pesara perkhidmatan awam akan mendapat peruntukan bantuan khas kewangan sebanyak RM350 pada bulan Januari 2023.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, Bantuan Kewangan Aidilfitri berjumlah RM300 juga bakal dibayar pada bulan Mac 2023 kepada sejuta pesara.

Pada pembentangan Bajet 2023, 7 Oktober yang lalu, Perdana Menteri memutuskan supaya Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 untuk penjawat awam dinaikkan kepada RM600 dan dibayar pada Mac 2023.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pada tahun hadapan, kerajaan turut bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM700 dan sejuta pesara sebanyak RM350 dengan implikasi kewangan berjumlah RM1.3 bilion.

“Bersama dengan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 yang berkuat kuasa Januari 2023 dan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 menjadikan jumlah tambahan keseluruhan untuk penjawat awam yang layak pada 2023 adalah sebanyak RM2,500,” katanya.

Katanya, kerajaan sebelum ini telah bersetuju untuk memberikan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56 dengan implikasi kewangan RM1.5 bilion. – MalaysiaGazette