Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika hadir pada sidang media mengenai taklimat Op Banjir di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata beliau ‘orang parti’ yang akur dengan ketetapan yang diambil kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau yang merupakan salah seorang daripada 12 menteri menandatangani dan menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berkata, ia adalah keputusan parti yang tidak mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

“Perdana Menteri pun sebelum ini katakan yang beliau adalah party man, saya hormati cara dia. Begitu juga saya, dengar kehendak parti, kalau parti kata tidak sesuai, saya ikut sama tidak sesuai,” kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Semalam, Datuk Seri ismail Sabri berkata, tindakan 12 menteri mengutuskan surat kepada YDPA jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya telah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda sekaligus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

Malah menurut Perdana Menteri sejak akhir-akhir ini ada dalam kalangan Jemaah Menteri yang membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar kerajaan.

Kata Ismail Sabri, tindakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan musuh utama PN adalah Barisan Nasional (BN) juga telah mengundang bibit-bibit perpecahan, sedangkan partinya turut menganggotai kerajaan.

Menurut Hamzah, adalah normal untuk mana-mana wakil parti mengutus surat kepada sesiapa seperti mana yang diperkatakan Perdana Menteri sebelum ini.

Namun tambah beliau, Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan yang berbeza selepas itu. – MalaysiaGazette