Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mungkin melakukan kecuaian dan kekhilafan dalam isu pertikaian Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Perdana Menteri Interim, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu merupakan antara cadangan yang dikemukakan Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 7 Oktober lalu.

“Mesyuarat dimaklumkan mengenai terdapat kemungkinan kecuaian dan kekhilafan Dr. Mahathir apabila Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008, dan permintaan tafsiran Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan selepas Dr. Mahathir membuat keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman pada 11 Jun 2018,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, jemaah menteri turut bersetuju dengan cadangan Pasukan Petugas Khas agar tindakan perundangan berkaitan isu tersebut diteruskan di ICJ serta tindakan sewajarnya diambil untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Pada 26 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan dan Pasukan Petugas Khas memutuskan untuk menyemak semula undang-undang berhubung kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menurut beliau, mereka turut mengesyorkan opsyen terbaik mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan dalam tempoh enam bulan dan kerajaan komited dengan keputusan itu untuk memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin dan menjadi keutamaan.

Pasukan Petugas Khas tersebut dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali manakala keahlian adalah Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin (peguam), Datuk Ahmad Nazri Yusof (bekas Duta Besar Malaysia ke The Hague), Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu (peguam); dan Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek (peguam).

Turut dilantik ialah Datuk Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad Burhanuddin (peguam), Datuk Mohammed Ridha Abd. Kadir (wakil kerajaan Johor), Datuk Umar Saifuddin Jaafar (wakil Jabatan Peguam Negara), Sr. Hamdan Ab. Aziz (wakil JUPEM), dan Shaharudin Onn (wakil Kementerian Luar Negeri).

Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan  di bawah pimpinan Dr. Mahathir menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast