Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah sampai di ibupejabat Pas Pusat di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat politik dan pilihan raya.

KUALA LUMPUR – Pas dijangka memutuskan dua perkara besar parti itu hari ini.

Keputusan sama ada Pas akan membubarkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) sejajar dengan pembubaran Parlimen dan keputusannya kekal dengan parti Bersatu atau Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diputuskan hari ini.

Isnin lalu, Jawatankuasa Pas Pusat telah mengadakan mesyuarat, tetapi tiada keputusan dibuat berikutan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berada di luar negara.

Hari ini boleh dikatakan semua pimpinan kanan Pas hadir pada mesyuarat politik dan pilihan raya yang dijangka selesai petang ini.

Beberapa pemimpin Pas yang kelihatan sampai di ibu pejabat parti itu, di sini, ialah Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Abdullah; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub; Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari; Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin; AJK Pas Pusat, Datuk Hashim Awang dan Datuk Mahfodz Mohamed.

Hashim ketika ditemui wartawan di luar bangunan ibu pejabat Pas memberitahu, semua agenda dijangka dibincangkan dalam mesyuarat dan antara yang penting persiapan hadapi PRU.

“Saya tidak tahu apa-apa keputusan lagi sebab belum masuk mesyuarat. Tapi kita akan bincang semua agenda berkaitan PRU,” katanya.

Beberapa pemimpin kanan Pas turut mengambil sikap berdiam diri apabila ditanya media mengenai perkara tersebut. – MalaysiaGazette