Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin bercakap kepada media selepas melakukan flag-off pada Majlis Pelepasan Peringkat Ketiga (Putrajaya-Genting Highlands) sempena perlumbaan jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 13 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digalakkan untuk menetapkan tarikh hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) pada Sabtu bagi memastikan sesi persekolahan tidak terjejas.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini kerana banyak bilik darjah dan ruang sekolah akan digunakan sebagai tempat mengundi berikutan PRU15 diadakan bukan pada musim cuti sekolah.

“Secara umumnya pilihan raya dibuat pada cuti hari minggu. Kita berharap begitulah keadaannya pada kali ini supaya tidak menjejaskan operasi sekolah. Biasanya buat pada hari Sabtu bagi memudahkan. Kalau Ahad lain pula kerana ada negeri yang bersekolah pada hari itu.

“Kita tak tahu apakah tarikh yang ditetapkan oleh pihak SPR. Apa yang paling penting, kalau operasinya pada Sabtu, ini merupakan perkara yang telah kita lalui sebelum ini cuma kalau bersekolah akan terjejas sesi persekolahan pada hari tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat pelepasan peserta Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat Putrajaya-Genting Highlands di Dataran Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, SPR dalam satu kenyataan memaklumkan akan mengumumkan tarikh penting bagi PRU-15, termasuk hari penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi pada 20 Oktober ini.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa berbincang dengan SPR berkenaan penggunaan sekolah, tetapi tidak berkaitan dengan penggunaan sekolah pada hari persekolahan.

“Perlu diingat persediaan menyediakan tempat bukan sehari, mungkin akan mengambil masa sehari sebelumnya.

“Sebab itu, kalau diadakan pada hari Sabtu memudahkan semua pihak termasuk pihak sekolah dan ibu bapa yang menghantar anak. SPR lebih maklum dan mengambil kira dalam membuat keputusan,” katanya.

Ditanya mengenai kenaikan kadar bayaran bagi program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang bermula bulan ini, Radzi berkata, ia tidak terjejas susulan pembubaran Parlimen dan Bajet 2023 belum diluluskan Dewan Rakyat.

Katanya, kenaikan kadar bayaran RMT yang diumum pada pembentangan Bajet 2023 Jumaat lalu tidak terlibat dengan bajet tahun depan, sebaliknya menggunakan peruntukan yang telah disediakan.

“Secara umumnya untuk tahun ini kita sedang bincang peruntukan itu. Biasanya, apabila telah diumumkan telah ada peruntukan untuk perkara tersebut. Kita akan bincang dengan Kementerian Kewangan untuk melihat apakah pendekatan perlaksanaan untuk tahun ini.

“Ia tidak terlibat dengan bajet tahun depan. Perkara ini sedang diteliti dan dikaji di peringkat kementerian apakah pendekatan yang kita akan gunakan,” tambah Radzi. – Malaysiagazette