PULAU PINANG – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Mohd Noor Ahmad muncul juara persembahan boria mengalahkan 10 pesaingnya dalam pertandingan yang berlangsung di Komtar Walk, di sini, baru-baru ini.
Sebanyak 11 kumpulan atau SMK seluruh negeri itu menyertai pertandingan berkenaan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhannya lebih RM11,000.
Dengan kemenangan itu, SMK Datuk Haji Mohd Noor membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 bagi tempat pertama, manakala SMK Permatang Tok Jaya yang memperoleh di tempat kedua mendapat hadiah RM3,000.
Penganjur, Razali Hussain berkata, tempat ketiga dimenangi SMK Gemilang dengan hadiah wang tunai RM1,700 dan tempat keempat SMK Westlands hanya berpuas hati dengan hadiah sebanyak RM700.
Menurutnya, SMK Haji Mohd Noor Ahmad bukan sahaja juara persembahan, malah dinobatkan pemenang Tukang Karang Terbaik dan Sketsa Terbaik pertandingan.
“Program pertandingan boria 2022 ini anjuran pertama kali Arena Pinang Sdn. Bhd. yang disokong dan didokong oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang.
“Pada bulan yang sama juga berlangsungnya Jaguh Boria yang dianjurkan oleh RTM dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang.
“Penganjuran ini bertujuan untuk mengembali dan menyemarakkan semula warisan boria Pulau Pinang yang semakin dilupakan terutam oleh generasi muda yang semakin disemai oleh budaya luar yang kian mendapat tempat,” katanya kepada Malaysia Gazette.
Razali yang merupakan pelakon dan penyanyi berkata, juri pertandingan diadili oleh individu profesional iaitu. Omar Md. Hashim (Omara), Zaini Man dan Mohamad Din Haniffa.
Kata beliau, kebiasaannya dalam pertandingan boria yang dianjurkan mana-mana pihak sebelum ini, bagi kumpulan yang tidak berjaya mendapat tempat akan pulang dengan tangan kosong.
Namun, pertandingan yang dianjurkan Arena Pinang Sdn. Bhd. dengan tema bebas ini, kumpulan yang kalah juga turut menerima wang sagu hati sebanyak RM200, selain sijil penyertaan dan plak cenderahati tiap seorang.
“Apa yang membanggakan kami dengan pertandingan ini ialah turut mendapat sambutan dari pelancong asing yang tidak bergerak di tempat duduk kerana teralu asyik dengan persembahan nyanyian boria.
“Walaupun mereka tidak faham senikata lagunya, tetapi mereka nampak tertarik dan terhibur dengan pakaian atau kostum yang dipakaikan ahli kumpulan boria ini.
“Mereka langsung tidak berganjak dari tempat duduk. Mereka seronok dengan persembahan ini dan tidak melepaskan peluang bergambar dengan peserta pertandingan,” katanya.
Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada penaja pertandingan iaitu Pelita Nasi Kandar, Penang Development Corporation (PDC), JM Miracle dan Kimberley Hotel Penang.
Pertandingan itu dirasmikan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pulau Pinang, Shapee Che Embi
Mengenai hadiah Tukang Karang Terbaik, Razali berkata, pemenang menerima wang tunai RM150, manakala masing-masing RM300 untuk Sketsa Terbaik dan Kostum Terbaik. – MalaysiaGazette