Jordan Tiew Hock Huat

KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyaman Kerajaan Sementara Perdana Menteri Ismail Sabri adalah satu perbuatan menghina keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam membubarkan Parlimen.

Lantaran itu, Ahli Jawatankuasa Pilihan Raya Umum Perikatan Nasional (PN) Klang, Jordan Tiew Hock Huat meminta Santiago untuk menarik semula saman tersebut dengan segera.

Katanya, walaupun PN tidak bersetuju mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun ini, tetapi semua pihak perlu menghormati keputusan baginda,

“Tindakan itu diibarat memperlekehkan kebijaksanaan dan kuasa yang ada pada YDPA. Kuasa YDPA di bawah Perkara 40(2)b dan 55(2) Perlembagaan Persekutuan untuk meluluskan dan bubar Parlimen yang dicadangkan oleh Perdana Menteri. Jadi, semua orang perlu menghormati keputusan baginda.

Jordan Tiew menambah, pembubaran Parlimen telah pun dibuat dan semua pihak mesti menerimanya sama ada bersetuju atau tidak.

“PN menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong, jadi kami siap sedia hadapi PRU dan akan cuba menyakinkan pengundi bahawa PN adalah calon kerajaan yang sesuai dan stabil. – MalaysiaGazette