Soffian (depan) menunjukkan dadah serta peralatan yang digunakan untuk menghasilkannya yang dirampas polis pada sidang media di IPD Barat Daya, Balik Pulau hari ini.

BALIK PULAU – Sewa sebuah rumah di Kampung Bukit, Bayan Lepas yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari kediaman keluarga di Sungai Dua, semata-mata untuk dijadikan makmal heroin.

Itu taktik pasangan suami isterinya sejak 10 bulan lalu yang berjaya dibongkarkan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut serta BSJN IPD Barat Daya menerusi dua serbuan pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 8.30 malam di tepi jalan di Gelugor yang membawa kepada tangkapan lelaki, 43, manakala isterinya yang juga warga asing berusia 30 tahun.

Kata beliau, berpandukan maklumat suspek lelaki yang bekerja sebagai penyembelih ayam itu, polis melakukan serbuan kedua pada jam 10.30 malam di sebuah rumah kampung di Kampung Bukit yang membawa kepada penemuan makmal memproses dadah jenis heroin.

“Hasil kedua-dua serbuan itu pihak polis berjaya merampas dadah dan peralatan memproses dadah yang dianggarkan bernilai RM81,330.

“Antara dadah yang dirampas termasuk heroin, pil yaba serta serbuk kafein.

Soffian (kiri) Kamarul (kanan) menunjukkan dadah heroin yang diproses sepasang suami isteri yang dirampas polis.

“Kita turut merampas dua ketuhar serta bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan dadah heroin tersebut,” katanya pada sidang media di IPD Barat Daya di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, hasil risikan mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif sejak awal Januari lalu bagi pasaran tempatan.

Siasatan juga mendapati, isterinya berperanan sebagai pembantu kepada suspek lelaki  dalam menghasilkan dadah tersebut.

Soffian berkata, pihaknya juga menjalankan siasatan bagaimana mereka mempelajari cara membuat dadah, selain mengenal pasti pembekal bahan asas termasuk kimia untuk menghasilkan dadah.

“Siasatan lanjut juga mendapati rumah kampung tersebut disewa untuk dijadikan makmal dan keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 24,197 penagih.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki itu didapati positif dadah dan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

“Pasangan itu direman sehingga 17 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Selain itu, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 susulan rampasan kenderaan bernilai RM27,000,” kata beliau. – MalaysiaGazette