Perjumpaan Top Five semalam dan hari ini untuk memuktamadkan senarai calon sebelum diserahkan kepada SPRM dan LHDN.

KUALA LUMPUR – Perjumpaan pimpinan Top Five UMNO di Menara Dato’ Onn di sini, semalam dan hari ini dikatakan menumpukan kepada meneliti senarai calon yang akan bertanding kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perjumpaan yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, turut dihadiri Perdana Menteri yang juga Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas menerima senarai calon daripada pengerusibadan perhubungan negeri masing-masing.

MalaysiaGazette difahamkan, Pengerusi Perhubungan di negeri yang tidak dibubar DUN serentak dengan Parlimen juga turut mengemukakan senarai nama sebagai persediaan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum pertengahan tahun depan.

Semua senarai nama itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tapisan dan dimuktamadkan.

Keputusan muktamad calon yang bertanding akan diumumkan oleh Ahmad Zahid selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat 20 Oktober ini. – MalaysiaGazette