Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas memutuskan akan menggunakan simbol bulan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk Kelantan, Terengganu dan Kedah, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, bagi negeri lain, Pas bertanding menggunakan simbol Perikatan Nasional (PN).

“Hanya tiga negeri ini Pas guna lambang sendiri iaitu bulan, manakala negeri lain telah dipersetujui menggunakan lambang PN.

“Keputusan ini akan dibawa ke Majlis Pimpinan PN,” lapor Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau, keputusan menggunakan lambang sendiri di tiga negeri itu dibuat berikutan rakyat di Kelantan, Terengganu dan Kedah sudah tidak asing lagi dengan logo bulan, berbanding PN.

Tambah pula katanya, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berpendapat, ahli parti itu alahan warna biru yang mengingatkan mereka kepada lambang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Mengenai keputusan Pas untuk menangguhkan pembubaran tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, Tuan Ibrahim berkata, ia berpunca daripada faktor banjir yang dijangka berlaku November ini.

Beliau turut menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana tergesa-gesa memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat pada 10 Oktober lalu.

“Kita sedar, jika berlaku pilihan raya berasingan antara Parlimen dan DUN akan meningkatkan kos, tetapi jangan salahkan Pas.

“Dalam hal ini, UMNO dan BN patut dipersalahkan kerana mahu adakan pilihan raya secara tergesa-gesa tanpa memikirkan risiko banjir,” tegasnya. – MalaysiaGazette