Hanafi Zulkapli

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Selangor menggesa kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)  menetapkan tarikh pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketuanya, Hanafi Zulkapli berkata, ia bagi membolehkan semua pihak khususnya parti pemerintah menumpukan kepada pembangunan negara dan negeri.

“Tetapkan sahaja tarikh PRU seterusnya sejurus pembentukan kerajaan, lima tahun berikan fokus kepada membina negara. Utamakan kebajikan rakyat dan perkukuhkan ekonomi serta membina peluang-peluang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Hanafi, langkah itu antara lain untuk menghentikan polemik politik yang timbul sebelum ini hingga mengugat kestabilan kerajaan.

Melalui cara itu, tiada lagi polemik politik yang tidak berkesudahan, fokus kerjasama di antara pihak kerajaan dan pembangkang, katanya.

“Ia bagi membawa agenda negara agar berada di satu tahap yang membanggakan generasi akan datang,” katanya.

Katanya lagi, hanya pemimpin yang bebas salah laku rasuah dan salah guna kuasa sahaja boleh memenuhi kehendak rakyat.

“Rakyat mahukan kestabilan dan kepimpinan yang penuh berintegriti dalam mengemudi perjalanan negara tercinta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette