Pegawai Maqis Pulau Pinang memeriksa daging kerbau yang diragui status halal serta sijil kesihatan di NBCT Butterworth, Pulau Pinang.

BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menyita 28 tan daging kerbau sejuk beku dari India bernilai RM270,000 di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, pada Rabu lalu.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, sitaan itu dibuat susulan terdapat maklumat mengelirukan pada barang import itu.

Jelas beliau, daging kerbau itu dikesan dalam sebuah kontena ketika penguat kuasa Maqis negeri membuat pemeriksaan di pelabuhan tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati kontena berkenaan membawa 1,167 kotak produk ruminan iaitu daging kerbau sejuk beku dari India bernilai RM270,000.

28 tan daging itu diimport dari India.

“Manakala semakan lanjut mendapati sijil kesihatan dan sijil halal yang dikeluarkan dari negara pengeksport adalah tidak tepat dan berbeza.

“Justeru, barangan dagangan terbabit disita untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Tanbah beliau, kes  disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana memberikan maklumat mengelirukan dalam pengimportan di bawah akta terbabit.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette