SINGAPURA – Kes Covid-19 di Singapura kembali meningkat sejak sebulan lepas, berpunca terutamanya oleh subvarian Omicron XBB dengan gelombang jangkitan XBB dijangkakan memuncak pada pertengahan November 2022.

Kementerian Kesihatan (MOH) berkata pihaknya menjejaki rapat trajektori gelombang itu dan mengambil langkah untuk memastikan kapasiti penjagaan kesihatan kekal dilindungi.

“Di Singapura, XBB kini menjadi subvarian utama yang menular dalam komuniti, menyumbang 54 peratus kes tempatan pada minggu ketiga hingga 9 Okt berbanding 22 peratus minggu sebelumnya,” menurut MOH dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Kementerian itu berkata, subvarian dominan BA.5 kini dianggarkan menyumbang 21 peratus daripada kes tempatan manakala subvarian  BA.2.75 menyumbang 24 peratus daripada kes.

MOH berkata, ada bukti XBB mungkin memacu semula peningkatan jangkitan.

“Perkadaran jangkitan semula dalam kalangan jumlah kes Covid-19 di Singapura meningkat sejak sebulan lepas dengan jangkitan semula kini menyumbang kira-kira 17 peratus daripada jumlah kes baharu,” menurut kenyataan itu.

Memandangkan imuniti daripada jangkitan semula jadi dalam populasi mungkin semakin berkurangan dari semasa ke semasa maka adalah penting untuk memastikan penduduk mendapat perlindungan minimum daripada vaksinasi selain menentukan vaksinasi sentiasa dikemas kini bagi melindungi diri daripada jangkitan yang teruk.

Peningkatan kes kemasukan ke hospital di republik itu juga selari dengan peningkatan kes tempatan secara keseluruhan.

“Yang penting, jumlah kes teruk kekal rendah,” menurut MOH.

Setakat 14 Okt 2022, jumlah kes kemasukan ke hospital, memerlukan bekalan oksigen dan yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) masing-masing sebanyak 562,44 dan sembilan, berbanding masing-masing sebanyak 365,37 dan 13 kes seminggu lepas, walaupun Purata Pergerakan Kes Tempatan tujuh hari meningkat kepada 7,716 kes berbanding 4,714  dalam tempoh sama.

Berdasarkan maklumat semasa, MOH menjangkakan “gelombang jangkitan XBB akan memuncak sekitar pertengahan November 2022.”

“Dengan menggunakan gelombang BA.5 sebagai petunjuk, kes kemasukan ke hospital kemudiannya memuncak kepada 800 pada Julai 2022, hospital kami dapat menangani jumlah itu,” menurut kementerian itu.

Subvarian Omicron XBB pertama kali dikesan pada Ogos 2022 di India dan sejak itu ia dikesan di lebih 17 negara termasuk Australia, Bangladesh, Denmark, India, Jepun dan AS.

“Walaupun pemerhatian oleh negara-negara yang melaporkan XBB, varian itu boleh menular seperti varian lain namun, tiada bukti XBB boleh menyebabkan kesakitan lebih teruk,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA