Pekebun sawit, Nit Mat Adam memasukkan buah sawit yang telah siap dikait kedalam lori untuk dijual di Felda Chini Timur, Pekan, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 06 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan dengan kecenderungan menurun minggu depan berikutan lambakan stok di negara ini, menurut peniaga minyak sawit David Ng.

Harga MSM dijangka diniagakan antara RM3,400 hingga RM4,000 satu tan.

Laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang dikeluarkan pada Selasa mendedahkan stok MSM Malaysia bagi September 2022 meningkat 24.76 peratus kepada 1.28 juta tan berbanding 1.03 juta tan yang dicatatkan semasa bulan sebelumnya.

Permintaan yang lemah untuk komoditi itu juga disebabkan oleh jangkaan peningkatan inventori pada bulan-bulan akan datang, selepas Indonesia, pengeluar sawit terbesar di dunia, mengambil langkah mengurangkan tahap inventorinya yang membebankan.

Awal minggu ini, CGS-CIMB Research mengunjurkan stok minyak sawit tempatan bertambah melonjak 8.2 peratus dari bulan ke bulan kepada 2.5 juta tan menjelang akhir Oktober berikutan peningkatan pengeluaran yang agak ketara berbanding eksport.

Dari asas Jumaat hingga Khamis, kontrak niaga hadapan MSM bagi Oktober 2022 naik RM20 kepada RM3,650 satu tan, November 2022 serta Disember 2022 masing-masing mencatatkan kerugian sejumlah RM4 kepada RM4,786 satu tan dan RM3,833 satu tan, manakala Januari 2023 adalah lebih rendah sebanyak RM10 kepada RM3,866 satu tan.

Februari 2023 turun RM12 kepada RM3,897 satu tan dan Mac 2023 lemah RM11 kepada RM3,925 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan menurun kepada 271,207 lot berbanding 259,361 lot yang dicatatkan semasa minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka melebar kepada 206,691 kontrak daripada 203,332 kontrak.

Harga MSM fizikal untuk Oktober Selatan kekal pada RM3,750 satu tan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast