Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

KOTA BHARU – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan bertanding tujuh daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November ini.

Perkara itu dijelaskan presidennya yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Dr. Ibrahim Ali selepas mempengerusikan mesyuarat dengan komponen GTA di sini, hari ini.

Katanya, tujuh kerusi yang telah dimuktamadkan Putra untuk bertanding ialah Tumpat, Pasir Mas, Rantau Panjang, Tanah Merah, Kota Bharu, Bachok dan Pengkalan Chepa.

Tujuh lagi yang akan ditandingi calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ialah Pasir Puteh, Gua Musang, Jeli, Kubang Kerian, Machang, Ketereh dan Kuala Krai.

“Saya baharu selesai mempengerusikan mesyuarat GTA Kelantan. Senarai calon Putra dan GTA ini akan diumumkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat serta menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

“Mengenai Parlimen mana saya akan bertanding, saya hanya boleh katakan setakat ini ada dua pilihan dan saya akan pilih satu daripadanya,” katanya kepada MalaysiaGazette di Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu, Ibrahim turut mengulas keputusan Pas untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN) sebagaimana diputuskan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang Khamis lalu.

Ujar beliau, keputusan itu menunjukkan Pas tidak mempunyai pilihan kerana UMNO dianggapnya begitu angkuh dan sombong, selain terlalu yakin akan menang bertanding secara solo tanpa bergabung dengan parti itu.

Bagaimanapun, katanya, Pas selama ini beriya-iya mahu bekerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) kerana mahu menyelamatkan 27 kerusi Parlimen yang parti itu kalah dalam PRU14 akibat pecah undi.

“Semua 27 kerusi Parlimen ini yang pernah dimenangi Pas dan UMNO dalam PRU sebelum ini telah dimenangi calon Pakatan Harapan (PH) kerana berlaku pecah undi antara BN dan Pas,” katanya.

Ditanya kenapa Pas tidak mahu bubar tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) bawah pentadbirannya,  Ibrahim menjelaskan, selain menggunakan alasan banjir dan mahu selamatkan nyawa rakyat, parti itu juga bimbang akan hilang tiga negeri berkenaan jika diadakan PRU serentak dengan Parlimen.

“Sudah tentu Pas memberi alasan banjir dan mereka bimbang bencana itu berlaku pada hari kempen dan mengundi, sekali gus membahayakan nyawa rakyat.

“Pada masa sama, Pas juga bimbang mereka boleh hilang Kelantan, Terengganu dan Kedah kalau diadakan PRU serentak tahun ini.

“Bagi GTA, kita tidak ada masalah hendak PRU serentak atau berasingan. Kita ikut perjalanan politik dan undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette