MELAKA – Berteraskan sikap cakna keindahan serta pemeliharaan flora dan fauna maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Pulau Bidong, Terengganu, baru-baru ini.
Program Sukarelawan Pelajar dan Staf UTeM ini melibatkan gerakan bersepadu menzahirkan semangat kesukarelawanan daripada 30 orang kakitangan dan 10 orang penuntut universiti ini.
Naib Canselor UTeM yang turut bersama menjayakan program ini, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, pemilihan Pulau Bidong bertepatan dengan objektif utama program iaitu mengeratkan hubungan sukarelawan di samping menjayakan CSR.
Katanya, ianya melibatkan staf dan pelajar agar dapat menyumbang bakti dalam kesepaduan satu pasukan yang jitu dan sentiasa bersedia berkhidmat pada bila-bila masa.
Jelasnya, penglibatan pelbagai lapisan warga UTeM dari pengurusan tertinggi, staf profesional, staf sokongan serta pelajar telah membuktikan bahawa semangat kesukarelawanan dan kerjasama melaksanakan kebajikan tidak pernah mengira pangkat dan status.
”Gerak kerja pembersihan sampah-sarap meliputi kawasan di sepanjang pantai Pulau Bidong sehingga ke tapak peninggalan Kem Pelarian Vietnam adalah selari dengan kesedaran UTeM terhadap kelestarian alam sekitar.
“Antara pengisian utama berimpak lain adalah memberi penekanan terhadap pembangunan jati diri warga UTeM melalui sesi bina semangat dan motivasi dan ianya turut dimeterai dengan bacaan ikrar oleh para peserta,” ujarnya.
Ujarnya lagi, pelbagai aktiviti menarik lain turut dilaksanakan melibatkan pembabitan para peserta seperti gerak kerja berpasukan, jejak warisan, sukan rakyat, water confident dan snorkeling.
Mengulas lanjut Massila berkata, selaras dengan lawatan kerja delegasi UTeM ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebelumnya, program sukarelawan ini telah dibantu oleh Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan UMT sekali gus memperkukuhkan hubungan dan jaringan strategik antara dua universiti awam tersebut.
Mereka turut berkongsi pengetahuan mengenai pemuliharaan ekosistem di Pulau Bidong termasuklah teknik asas selam skuba kepada sukarelawan UTeM. – MalaysiaGazette