KUALA LUMPUR – DAP mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang Awang susulan pendedahannya mengenai salah laku rasuah melibatkan pemimpin dan Menteri Barisan Nasional (BN).
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Lim Lip Eng berkata, pendedahan itu serius, apatah lagi Pas pernah bersama BN dalam Kerajaan Persekutuan sama ada di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Peliknya, semasa bersekongkol dengan parti-parti BN dalam Kabinet Muhyiddin dan kemudian Kabinet Ismail Sabri sebelum Parlimen dibubar pada Isnin lalu, mengapa Hadi tidak berani berkata BN ada penerima rasuah?
“Oleh yang demikian, saya mendesak pihak polis dan SPRM mengambil keterangan daripada Hadi dengan segera kerana partinya pernah bersama-sama dengan BN dalam kerajaan.
“Kemungkinan besar Hadi memiliki maklumat tentang kesalahan rasuah yang melibatkan menteri-menteri BN dan parti-parti BN,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Pas menangguhkan hasrat bekerjasama dengan UMNO bagi membolehkan parti Melayu itu menjernihkan kekeruhan yang timbul termasuk dibebani isu rasuah.
Abdul Hadi ketika menyampaikan kuliah Dhuha, di Pantai Peranginan Kelulut, Marang semalam berkata, Pas memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana mendakwa pemimpin UMNO rakus mahu memerintah negara dan menerima rasuah.
Lip Eng juga mempersoalkan kelakuan Pas itu yang menolak BN setelah parti itu menunggangi UMNO ketika dalam dua pentadbiran kerajaan sebelum ini.
“Selepas menunggang UMNO, kuda ini pula ditendang sekuat-kuatnya. Adakah ini satu cara kelakuan pemimpin Pas?” soalnya.
Ahli Parlimen Kepong itu turut berasa bimbang apabila Abdul Hadi cuba menghasut rakyat kononnya Pakatan Harapan (PH) didalangi puak komunis dan golongan yang menolak peranan Raja di negara ini.
“Dakwaan Hadi itu dibuat tanpa memberikan apa-apa asas dan bukti. Jika benar ada puak komunis dan yang menolak raja di dalam PH, maka saya cabar Hadi membuat laporan polis dalam masa 48 jam.
“Ini kerana ini melibatkan satu kesalahan yang amat serius dan perbuatan derhaka yang khianat terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan negara,” katanya.
Katanya lagi, sekiranya Abdul Hadi gagal bertindak demikian, ini bermakna beliau telah berbohong dalam ceramah dan pemimpin Pas irtu sepatutnya meminta maaf kepada YDPA dan rakyat.
“Jadi merujuk kepada apa yang pemimpin PAS sebut, seolah-olah mereka bercakap bohong dan boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni dalam negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette