Noor Hariri Mohamed Noor

KOTA BHARU – Dewan Pemuda Pas Kelantan telah membuka seluas-luasnya pekung di dada mereka sendiri dengan kenyataan yang diputar belit berhubung hasrat tersirat parti itu untuk bersama UMNO.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor menegaskan, kenyataan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengenai pertemuan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Rabu lalu membuktikan pencabulan pendirian yang dibuat oleh pemimpin parti itu.

“Saya meneliti kenyataan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed, menuduh Ketua Pemuda UMNO Malaysia hilang kelayakan integriti adalah tidak benar. Kenyataan balas itu sebenarnya telah membuka pekung mereka sendiri.

“Sebenarnya Pas dan Abdul Hadi yang tiada integriti dan tidak beradab apabila membuat serangan peribadi kepada pemimpin UMNO demi menutup agenda sebenar apa yang berlaku.

“Apabila tidak mahu kembali kepada Muafakat Nasional (MN) mereka gelar parti UMNO dengan gelaran parti ‘gelenyar’ (nakal), rakus mahu memerintah dan mengatakan pemimpin rasuah punca tangguh kerjasama dengan UMNO,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, melalui hantaran Facebooknya, Mohamad Kamal mendakwa, beliau hilang hormat kepada Dr. Asyraf Wajdi apabila dengan sengaja dan sedar menyebarkan gambar perbincangan antara Abdul Hadi dan Presiden UMNO, yang disifatkan sebagai sulit serta persendirian.

Dakwa beliau, jika setiap perbincangan perlu disebarkan dengan naratif kesalahan hanya diletakkan kepada sebelah pihak, hilanglah kewarasan dalam berfikir.

“Bagaimana seorang bertaraf Ketua Pemuda UMNO Malaysia boleh melakukan kesalahan integriti sebegitu, apa lagi cuba membawa imaginasi sendiri, jauh menyimpang dari pokok pangkal perbincangan,” katanya.

MalaysiaGazette difahamkan, sebelum Pas memutuskan untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN) pada mesyuarat pimpinan tertinggi parti itu Rabu lalu, Abdul Hadi ada bertemu dengan Ahmad Zahid.

Pertemuan itu menjanjikan ikatan positif antara Pas dengan UMNO menerusi MN, namun sebaliknya berlaku apabila Duta Timur Tengah itu membuat pusingan U untuk kekal dengan PN.

Dr. Asyraf Wajdi dalam kenyataannya selepas keputusan yang dibuat Pas itu mendedahkan fakta bahawa dalam pertemuan itu, Presiden Pas mahu meminta kerjasama dengan UMNO.

“Ini fakta, bukan sengaja direka-reka. (Namun) kekal sahajalah dalam Perikatan Nasional. Tiada siapa yang larang. Cuma janganlah diadu domba dan mereka cerita yang bukan-bukan,” kata bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Mengulas lanjut, Noor Hariri yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas mahu rakyat menilai sendiri mana madu dan tuba.

“Pemimpin mana yang suka menyebarkan kebencian dan melakukan serangan peribadi serta pemimpin mana yang berjiwa besar tidak mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati mana-mana pihak,” katanya. – MalaysiaGazette