KUALA LUMPUR — Gabungan Marhaen turun berdemonstrasi sempena Hari Pembasmian Kemiskinan Sedunia hari ini di stesen LRT Masjid Jamek, di sini.

Himpunan yang disertai lebih 30 orang itu menyasarkan semua parti politik dan calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya mereka mengubah nasib golongan kurang berkemampuan di seluruh negara.

Sekretariat Gabungan Marhaen, Karthiges Rajamanickam bercakap kepada media selepas mengadakan flashmob bagi memperingati Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa dan mengemukakan tuntutan pelbagai masyarakat dan pekerja kepada parti politik dan calon untuk PRU-15 di LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI

Sekretariat Gabungan Marhaen, Karthiges Rajamanickam berkata, menerusi 14 tuntutan-tuntutan yang disuarakan itu, ia mampu membantu merangka langkah dan dasar untuk menamatkan jurang kemiskinan di Malaysia.

“Selagi kita tidak menangani kemiskinan di kalangan rakyat B40, maka kita akan gagal sebagai sebuah negara dan masyarakat.

“Selepas diserang Covid-19 sejak tahun 2020, golongan Marhaen menghadapi pelbagai masalah dari segi keperluan asas seperti perumahan, kesihatan, pekerjaan, peningkatan harga barangan asas dan banyak lagi” katanya sewaktu berdemonstrasi pada petang  tadi.

Mengulas lanjut Rajamanickam berkata, hal ini menyebabkan tahap kemiskinan yang ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ merudum.

Memetik kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, beliau berkata, akibat pandemik Covid-19, kadar kemiskinan mutlak dan miskin tegar telah meningkat.

Kadar kemiskinan mutlak dan miskin tegar masing-masing naik kepada 8.4 peratus dan 1.0 peratus pada 2020 kerana rakyat kelas menengah (M40) terjerumus dalam kancah kemiskinan.

Antara yang dituntut dalam demonstrasi hari ini termasuk mengiktiraf Hak Tanah Adat Orang Asal dan memberi hak milik kekal serta memperkukuhkan status tanah rizab Orang Asal/Asli di Malaysia (Semenanjung, Sabah dan Sarawak).

Kedua, mewujudkan jaminan kerja untuk semua pekerja kontrak dengan hapuskan sistem kontrak, sumbangan pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan dan gaji minimum RM1,500 kepada semua pekerja am kontrak melalui Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK).

“Seterusnya iktirafkan Jaringan Pekerja Tidak Formal (JPTF) di sektor gig ekonomi yang dimaktubkan di bawah Akta Kerja 1955”

“Bagi jaringan pemandu lori pula, pemandu lori tidak dihukum atau denda untuk kesalahan majikan seperti untuk membawa muatan melebihi had yang ditetapkan”

“Gabungan kesatuan sekerja pula, hentikan pemerasan yang menghancurkan kesatuan sekerja. Pembentukan dan peningkatan keahlian kesatuan sekerja harus diutamakan untuk menjamin hak dan kebajikan pekerja.” katanya.

Tuntutan keenam buat gabungan petani, pengiktirafan bertani dan jaminan makanan perlu diteliti.

Katanya, geran tanah harus diberikan kepada golongan petani dan penternak yang telah lama bertani dan membekalkan hasil pertanian yang menjamin keupayaan pengeluaran makanan tempatan.

Ketujuh, bagi Gabungan Penternak Nasional, kerajaan kawal harga kenaikan makanan ternakan dan kelapan, dalam Jaringan Pesawah, mereka menuntut semua subsidi input ditukar kepada  pengeluaran padi kepada bentuk tunai/baucar.

Selain itu, Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) juga menuntut kerajaan dan parti politik menghentikan pengusiran penduduk secara paksa dari tempat tinggal mereka.

Kesepuluh, Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan menuntut pengekalan kampung peneroka bandar serta menggubal semula Enakmen Anti Pengusiran dalam masa sama menyediakan pampasan rumah, ganti rumah atau lot tanah.

Bagi Gabungan Flat Kos Rendah pula, mereka menuntut Majlis Perbandaran mengambil alih penyelenggaraan flat kos rendah dan seterusnya membatalkan cukai penyelenggaran untuk flat kos rendah dan selaraskan dengan hanya satu cukai pintu.

“Yang terakhir, Gabungan Alam Sekitar menuntut pengiktirafan Darurat Iklim dengan segera, moratorium terhadap pembalakan dan perlombongan di hutan primer” ujarnya. – MalaysiaGazette