KUANTAN – Majlis Agama Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melancarkan pelan strategik baharu bagi menjadi asas rujukan pihaknya bagi tempoh lima tahun yang akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Dr Ahmad Hairi Hussain berkata, pelan strategik bermula 2022- 2026 itu melalui proses yang panjang dan teliti berpandukan visi baharu iaitu ‘Bertekad Menjadi Peneraju Hal Ehwal Islam Demi Kesejahteraan Ummah’.
Ia didokong dengan misi memartabatkan Islam melalui ekosistem tadbir urus yang cemerlang, memperkasa masyarakat rabbani serta melestarikan adat resam Melayu yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.
“Daripada visi dan misi ini, maka terbentuklah enam objektif strategik utama yang seterusnya membuahkan 37 teras utama yang merangkumi 111 Indeks Prestasi Utama (KPI).
“Bagi memastikan pelaksanaan pelan strategik MUIP yang baharu ini tercapai, MUIP juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau pelaksanaan pelan ini melalui satu sistem khas yang dibangunkan sendiri oleh Bahagian Teknologi Maklumat MUIP yang dikenali sebagai Sistem Pemantauan Prestasi Pelan Strategik,” kata Ahmad Hairi.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Tengku Panglima Pahang, Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Pahang Interim, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaàn Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman.
Tambah Ahmad Hairi, KPI setiap bahagian di MUIP dapat dilihat melalui sistem secara atas talian pada setiap hari.
“Dengan terbentuknya pelan strategik MUIP 2022-2026 ini, MUIP bakal menampilkan sebuah identiti yang baharu, sebuah institusi yang lebih berdaya saing, berketrampilan dan berinovasi tinggi, demi memberikan yang terbaik buat umat Islam di negeri Pahang ini khususnya,” katanya.- MalaysiaGazette