Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia terus menyaksikan aktiviti jualan bersih daripada pelabur asing untuk minggu keenam berturut-turut dengan nilai pelupusan sebanyak RM479.7 juta minggu lepas, lebih tinggi daripada RM336.9 juta pada minggu sebelumnya.

Dalam minggu dagangan yang, pelabur asing adalah penjual bersih bagi setiap hari dagangan dengan aliran keluar paling teruk dicatatkan pada Khamis sebanyak RM153.7 juta dan Selasa RM140.3 juta, kata MIDF Research.

Sementara itu, aliran keluar yang dicatatkan pada hari Rabu dan Jumaat masing-masing sebanyak RM86.4 juta dan RM99.3 juta.

Sebaliknya, pelabur institusi merupakan pembeli bersih pada setiap hari dagangan minggu lepas dengan memulakan belian bersih bernilai RM81.2 juta pada hari Selasa dan jumlah itu menjadi sederhana kepada RM44.2 juta pada hari Rabu sebelum meningkat kepada RM131.5 juta pada Khamis dan rendah sedikit sebanyak RM111.5 juta pada hari Jumaat.

Secara kumulatif, pelabur institusi membeli RM368.4 juta minggu lepas.

Manakala pelabur runcit beralih menjadi pembeli bersih minggu lepas, dengan jumlah aliran masuk mingguan sebanyak RM111.3 juta.

Pada hari Selasa, pelabur runcit membeli ekuiti bernilai RM59.1 juta dan ia menyederhana kepada RM42.2 juta pada hari Rabu dan RM22.2 juta pada Khamis.

Mereka menutup minggu ini dengan jualan bersih bernilai RM12.2 juta.

Firma penyelidikan itu berkata, sehingga kini, pelabur asing telah menjadi pembeli bersih selama 24 daripada 41 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih RM5.81 bilion.

Sementara pelabur institusi adalah penjual bersih selama 29 daripada 41 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM8.11 bilion.

Dalam pada itu, pelabur runcit menjadi pembeli bersih selama 27 daripada 41 minggu 2022 dengan belian bersih RM2.30 bilion.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) merentas semua kelas pelabur pada +0.34% untuk pelabur runcit, +16.6% untuk pelabur institusi dan +16.3% untuk pelabur asing. – MalaysiaGazette