Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad hadir ke mahkamah pada hari keputusan sama ada dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad atau dibebaskan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 SEPTEMBER 2022.- Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan akan mengemukakan bantahan awal terhadap semakan permohonan kes rasuah dihadapi Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.

Pendakwaan hari ini mendakwa semakan kehakiman yang dikemukakan oleh pemohon sebenarnya telah menyalahi tatacara.

Menurut pendakwaraya, Low Chin How, notis tersebut bertentangan dengan Seksyen 35 dan 36 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1964.

“Ianya juga dibaca bersama Seksyen 325 dan 336 Kanun Acara Jenayah (CPC) yang memberi kuasa kepada mahkamah untuk memanggil dan memeriksa rekod prosiding.

“Kita akan failkan secara terperinci hari ini. Semakan itu didengar atas budi bicara mahkamah dan bukan atas notis usul yang mana mahkamah tiada pilihan serta dipaksa dengar merit semakan itu,” katanya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid hari ini.

Pasangan suami isteri itu diwakili peguam, M. Athimulan dan Datuk K. Kumaraendran.

Ketika prosiding, Azhar membenarkan permohonan pembelaan Bung, Zizie supaya semakan permohonan kes rasuah mereka didengar secara bersama.

Dalam pada itu, peguambela, Athimulan bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa semakan itu bergantung kepada budi bicara dan kuasa mahkamah namun ada tiga cara untuk melakukannya.

“Antaranya mahkamah boleh memanggil rekod prosiding untuk disemak melalui pihak terkesan sama ada tertuduh atau pendakwaan dan permohonan rasmi daripada pihak lain berkepentingan seperti mangsa.

“Biar saya hujah selepas lihat kandungan bantahan itu selepas ini,” ujarnya.

Hakim kemudian menetapkan 11 November ini untuk pendengaran kes itu.

Sebelum ini, Bung dan Zizie memfailkan notis usul untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September lalu yang memerintahkan mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah berkaitan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Permohonan untuk semakan itu dibuat dengan alasan hakim perbicaraan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta, apabila memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu juga didakwa menerima suapan RM337,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette, yang pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast