Tony Fernandes

KUALA LUMPUR – Kumpulan AirAsia X akan memanggil balik semua juruterbang dan kru kabin yang terjejas akibat pandemik untuk kembali bertugas pada bulan Disember ini.

Langkah ini selari dengan strategi syarikat untuk kekal fokus pada pasaran jak sederhana dalam jangka pendek, kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Tan Sri Tony Fernandes.

AirAsia X hari ini mengumumkan peningkatan penerbangan Malaysia AirAsia X (D7) kepada 44 penerbangan mingguan merentasi 10 laluan, dan menambah kekerapan penerbangan Thai AirAsia X (XJ) kepada 34 penerbangan mingguan merentasi enam laluan, bermula dalam masa dua bulan akan datang.

Baru-baru ini, AAX telah melancarkan perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Korea Selatan (Seoul-Incheon) dan India (New Delhi) serta menyambung semula laluan ke Australia (Sydney, Melbourne, Perth), New Zealand (Auckland) dan Jepun (Tokyo-Haneda dan Sapporo), Arab Saudi (Jeddah), dan Taipei bermula bulan November ini.

Thai AirAsia pula telah melancarkan perkhidmatan dari Bangkok ke Jepun (Osaka dan Tokyo-Narita) dan Korea Selatan (Seoul-Incheon), serta bersedia untuk melancarkan laluan terus ke Australia (Melbourne dan Sydney) dan Jepun (Sapporo-Chitose) bermula awal bulan Disember.

”Dalam usahanya untuk kembali terbang tinggi, AAX turut komited untuk memanggil balik semua juruterbang dan kru kabin dan mengesahkan bahawa mereka yang terkesan oleh pandemik akan berpeluang untuk kembali bertugas menjelang bulan Disember tahun ini,” katanya sambil menambah syarikat ini mengaktifkan semula seramai 175 juruterbang dan 285 kru kabin termasuk mengambil semula 131 kru kabin yang telah diberhentikan berikutan Covid-19.

Tony berkata, strategi ini memastikan AAX boleh beroperasi pada kekerapan optimum untuk laluan teras bagi mengurangkan kos supaya syarikat ini dapat menawarkan tambang terbaik dalam pasaran untuk para tetamu.

”Apa yang paling penting adalah kami boleh mengesahkan bahawa kakitangan yang terpaksa dilepaskan semasa Covid melanda kini telah kembali. Saya telah membuat komitmen ini dan amat berbesar hati kerana dapat memenuhinya dalam masa dua setengah tahun, sejajar dengan pengembangan operasi kami.

“Ramai juruterbang dan kru kabin telah kembali berkhidmat, tetapi dalam usaha kami untuk terus berkembang sejajar dengan peningkatan permintaan perjalanan, juruterbang yang belum berkhidmat dan kru kabin yang telah diberhentikan diberi peluang untuk kembali berkhidmat pada bulan Disember tahun ini. Malah, kami kini sedang melatih semula kumpulan kru kabin ketiga yang diambil semula,” ujarnya.

Tony berkata, walaupun pada masa ini AAX memberi keutamaan jarak sederhana tetapi ia akan melancarkan destinasi jarak jauh seperti London, Dubai dan Istanbul dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AAX Benyamin Ismail berkata, syarikat penerbangan itu akan beroperasi dengan 13 buah pesawat A330 menjelang suku pertama tahun 2023 berbanding empat sekarang untuk memenuhi permintaan yang kukuh dan semakin meningkat bagi penerbangan jarak sederhana.

“Mulai bulan Disember ini, kami akan menambah lebih banyak destinasi dan meningkatkan kekerapan penerbangan kepada 53 penerbangan mingguan termasuk penerbangan harian ke destinasi popular seperti Kuala Lumpur ke Seoul (Incheon).

”Aliran tempahan pada masa hadapan amat menggalakkan merentas semua metrik utama, dengan faktor muatan tahun-ke-tahun dan tambang purata yang lebih tinggi sehingga suku pertama tahun 2023.

“Kami juga menjangkakan permintaan yang kukuh untuk laluan baharu kami ke Istanbul, Turki yang akan diumumkan tidak lama lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette