KUALA LUMPUR – Penjawat awam tidak akan terperdaya lagi dengan ‘lakonan’ pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang ingin menonjolkan diri mereka sebagai ‘pejuang’ dalam isu Cikgu Fadli.
Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, semasa menjadi kerajaan dahulu, PH yang ketika itu turut dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pernah menyatakan bahawa penjawat awam adalah beban mati.
Selain itu, katanya, kerajaan PH juga telah mengurangkan jumlah penjawat awam.
“Mereka kata gaji penjawat awam terlalu tinggi sehingga kedai-kedai tom yam akan gulung tikar.
“Mereka dakwa wujudnya deep state dalam penjawat awam yang tidak bekerja sama dengan mereka.
“Sudah terlambat, PH. Penjawat awam dah sangat faham perangai korang,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Seorang guru matematik, Mohd. Fadli Salleh atau lebih popular sebagai Cikgu Fadli menjadi tumpuan ramai selepas mendedahkan menerima surat rasmi Lembaga Tatatertib yang menyatakan beliau berdepan tindakan ‘buang kerja atau turun pangkat’.
Sebelum itu, Cikgu Fadli membangkitkan isu beg berat, tahap silibus matematik terlalu tinggi dan bilik darjah padat, selain banyak lagi isu dalam pendidikan. – MalaysiaGazette