Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 17 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai penyiasat hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa kejadian termos berisi air panas yang didakwa tertumpah sehingga menyebabkan kecederaan pada tubuh remaja perempuan Sindrom Down dikenali sebagai Bella tidak pernah berlaku.

Inspektor Suhaili Mahad, 31, dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur berkata, ini kerana termos itu, yang dijadikan sebagai barang kes, berada dalam keadaan baik dan tiada kesan pecah.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati termos itu tidak jatuh sebab tidak ada kesan kemek,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas pada perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-19 itu berkata, tiga penghuni Rumah Bonda dikenali sebagai Yasmin, Balqis dan Aida serta Siti Bainun sendiri seolah-olah membacakan ‘skrip’ sama berhubung kejadian termos berisi air panas yang didakwa jatuh dan tertumpah ke atas Bella.

“Persamaannya ialah mereka menceritakan perkara sama iaitu Bella dikejar dari belakang oleh Balqis kerana berebut ‘jajan’ (makanan ringan) dan kemudian Bella tertarik termos lalu air panas tertumpah pada badannya.

“Namun apabila saya menemu bual seorang doktor yang merawat Bella di bahagian kecemasan, doktor itu mengesahkan terdapat kecederaan lama dan baharu pada badan remaja itu. Jadi, saya percaya apa yang disampaikan mengenai kejadian termos tertumpah itu tidak berlaku,” katanya.

Keterangan Suhaili itu bagaimanapun dibantah oleh peguam Mohammad Farhan Maaruf, yang mewakili Siti Bainun, atas alasan saksi bukan seorang pakar untuk memberi dapatan berhubung keadaan termos tersebut.

Zilfinaz kemudian berkata, Suhaili menyiasat semua saksi, jadi itu adalah dapatan beliau selaku pegawai penyiasat.

Mohammad Farhan: Suhaili bukan seorang pakar untuk menentukan kerosakan termos berkenaan.

Zilfinaz: Tidak perlu pakar untuk lihat apa-apa kerosakan sebab kita boleh lihat termos itu sendiri, mesti ada kerosakan jika jatuh.

Hakim Izralizam Sanusi menolak bantahan pembelaan dan merekodkan jawapan Suhaili.

Yasmin Nahar Mahmood, 19, dalam keterangan sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa kecederaan melecur yang dialami Bella adalah disebabkan tumpahan air termos dan bukan daripada mesin penapis air.

Suhaili juga memberitahu mahkamah beliau hanya menjalankan siasatan dari sudut pengabaian dan mengakui tiada keterangan lanjut daripada saksi berkaitan penderaan yang berlaku.

Beliau juga mengakui tidak merampas telefon bimbit Siti Bainun dan hanya mengambil telefon bimbit milik Zurianty Sudin dan Hani Azura, yang merupakan rakan tertuduh.

Muhammad Farhan: Sekiranya Puan Suhaili rampas telefon bimbit Siti Bainun dan serahkan kepada polis maka akan ada dua versi boleh dibandingkan yang mungkin membantu siasatan.

Suhaili: Tidak setuju.

Siti Bainun, 30, berdepan dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Perbicaraan di hadapan Izralizam bersambung esok. – Bernama