palestine mossad

KUALA LUMPUR – Kerajaan Palestin mahu individu-individu yang didapati terlibat dalam cubaan menculik seorang rakyatnya oleh ejen-ejen agensi risikan Israel, Mossad, pada 28 September lalu di sini diheret ke mahkamah dan dihukum.

Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Nasional Palestin berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan jenayah oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyatnya di negara ini.

“Kami menghargai usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk menyelamatkan seorang warga Palestin dari Gaza yang diculik oleh Israel melalui ejen-ejen Mossad.

“Selain itu, mereka berjaya mendedahkan anggota-anggota sel Mossad serta memburu dan mengesan rangkaian besar mereka,” kata kementerian itu dalam kenyataan yang disiarkan melalui Facebook, hari ini.

Rakyat Malaysia hari ini digemparkan dengan laporan New Straits Times berhubung kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelamatkan seorang lelaki warga Palestin yang diculik oleh ejen-ejen Mossad di ibu negara, kira-kira pukul 10 malam pada 28 September lalu.

Mangsa yang dipercayai seorang anggota Hamas diselamatkan oleh Unit Tindakan Khas (UTK) dalam masa 24 jam di sebuah chalet di Hulu Langat.

Ketika serbuan dilakukan, mangsa sedang disiasat dan didera oleh penculik-penculiknya.

New Straits Times turut melaporkan, rangkaian Mossad di Malaysia yang terdiri daripada rakyat tempatan itu dipercayai diketuai oleh seorang wanita tempatan berumur pertengahan 30-an.

Difahamkan, wanita terbabit merupakan penyiasat persendirian terlatih sebelum direkrut oleh seorang ejen Mossad sebelum 2018.

Pada tahun yang sama, ejen-ejen Mossad menembak mati seorang pensyarah warga Palestin, Fadi Mohamed al-Batsh di Kuala Lumpur.

Wanita berkenaan kemudian dihantar menjalani latihan berkaitan pengintipan di luar negara termasuk di Eropah.

Dia dikatakan menerima bayaran RM120,000 untuk menculik lelaki Palestin tersebut selain dibayar upah €2,000 sebulan.

Wanita itu dipercayai telah menubuhkan pasukan tinjauan yang dianggotai beberapa lelaki tempatan untuk menjejaki dua warga Palestin. – MalaysiaGazette