Foto yang ditularkan di media sosil

KUALA LUMPUR – PKR menafikan pasangan suami isteri yang ditangkap dan didakwa sebagai ejen perisikan Israel, Mossad adalah ahli parti itu.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan kedua-dua individu terbabit tidak pernah mendaftar sebagai ahli  di mana-mana cabang parti tersebut.

“Semalam tular di media sosial dakwaan bahawa dua individu yang ditahan itu merupakan anggota PKR atau ada kaitan dengan parti.

“Individu-individu tersebut didakwa punyai hubungan dengan Mossad.

“Saya sahkan bahawa dua individu tersebut, iaitu Nidarayahu Zainal dan Raibafie Amdan, bukan anggota mana-mana cabang PKR dan tiada kaitan dengan parti,” katanya.

Sebelum ini beberapa pihak berkongsi gambar pasangan suami isteri terbabit dan mendakwa mereka sebagai ahli PKR.

Pasangan itu didakwa sebagai penyokong tegar parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah menggunakan bingkai atau frame pada profil di media sosial yang menyokong parti PKR.

Warganet turut berkongsi gambar pasangan terbabit mengibarkan bendera PKR ketika berada di luar negara.

Gambar yang dikongsi di media sosial memaparkan saspek mengibarkan bendera PKR.

Fahmi menegaskan tindakan pasangan itu mengunakan logo dan mengibarkan bendera PKR tidak langsung mempunyai kaitan dengan parti.

“Berhubung gambar individu tersebut mengangkat bendera PKR atau gambar akaun Facebook dengan logo PKR sekitar 2018, ianya merupakan tindakan dan pilihan individu terbabit dan tidak ada kaitan sama sekali dengan parti,” katanya lagi.

Fahmi mengucapkan tahniah dan terima kasih berikutan tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas suspek dan membebaskan warga Palestin yang diculik.

Beliau menegaskan, semua yang didapati bersalah perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

Media sebelum ini melaporkan PDRM berjaya membongkar satu jaringan perisikan Israel, Mossad di Malaysia.

Perkara tersebut terbongkar apabila dua rakyat Malaysia dikatakan ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes penculikan warga Palestin akhir September lalu.

Wanita tempatan berusia 30 tahun dipercayai dilatih sebagai penyiasat persendirian di Perancis sebelum direkrut oleh ejen Mossad sebelum tahun 2018.

Beliau turut disyaki menjadi dalang rangkaian perisikan Israel di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast