Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Kegagalan Pakatan Harapan (PH) meneruskan kecemerlangan Barisan Nasional (BN) menguruskan ekonomi telah menyebabkan reputasi Malaysia sebagai ‘Harimau Asia’ bertukar menjadi ‘Tikus Asia’.

Justeru pentadbir laman Facebook Najib Razak meminta bekas Menteri Pertahanan era PH, Mohamad Sabu memahami hakikat itu.

“Yang kononnya janji nak selamatkan Malaysia telah merosakkan Malaysia. Jadi, siapa sebenarnya yang telah jahanamkan Malaysia menjadi ‘Tikus Asia’?” soalnya dalam hantaran Facebook hari ini.

Kelmarin, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu dilaporkan mendakwa, ekonomi negara kini dalam keadaan lemah akibat kelemahan pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Pentadbir laman Facebook Najib Razak memberitahu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu sepatutnya sedar bahawa Bursa Malaysia mencatatkan paras tertinggi 1,896 mata pada April 2018 sebelum menjunam selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan tidak pulih sehingga kini.

Beliau menambah, kejatuhan nilai ringgit juga bermula selepas PRU14 manakala defisit kerajaan meningkat semula sehingga menyebabkan nisbah hutang berbanding KeluaranDalam Negara Kasar (KDNK) naik dari 48.1 peratus sebelum PRU14 ke 62 peratus ketika ini.

“Jumlah hutang negara juga naik 46 peratus dalam tempoh empat tahun sahaja dari RM686.8 bilion pada 2017 ke RM1.05 trilion sekarang.

“Dividen-dividen tabung simpanan rakyat seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) turun ke paras paling rendah dalam sejarah selepas PRU-14,” jelasnya.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak memberitahu, nilai aset bersih Khazanah Nasional jatuh RM30 bilion selepas PRU14 kerana aset-aset negara dijual kerajaan PH secara lambak.

Malah katanya, penarafan kredit Petronas juga turun dua kali sebab kerajaan PH asyik menjarah rizab tunai RM176 bilion yang dibina semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak berbanding RM30 bilion sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

“Janji dicapati, bantuan dipotong, penjawat awam dibuang dan rakyat disuruh ikat perut dan jangan harap bantuan kerajaan. Gaji rakyat Malaysia yang sebelum PRU-14 dalam trend menaik yang jelas sebelum PRU-14 telah jatuh kembali,” katanya.

Beliau berkata, ketika zaman PH, hubungan Malaysia dengan negara-negara lain seperti Arab Saudi, India, China, Singapura dan Amerika Syarikat juga terjejas. – MalaysiaGazette