M
Maszlee Malik

DR. MASZLEE Malik dijangka berdepan kesukaran untuk mempertahankan kerusi Parlimen Simpang Renggam yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRU14, beliau yang bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysi (Bersatu) menang dengan majoriti 3,475 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Liang Teck Meng dan calon Pas, Mohd Jubri Selamat.

Maszlee beroleh 18,157 undi manakala Teck Meng dari Gerakan mendapat 14,682 undi dan Jubri pula hilang deposit setelah meraih hanya 2,983 undi.

Pada PRU15, nasib beliau mungkin berbeza. Maszlee bakal berdepan tentangan sengit daripada BN yang ingin memastikan Simpang Renggam kembali ke pangkuannya.

BN mempunyai kelebihan kerana dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Simpang Renggam iaitu Layang-layang dan Machap berjaya dipertahankannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Malah, kekalahan Maszlee di kerusi DUN Layang-layang seolah-olah menggambarkan ‘penolakan’ pengundi terhadap beliau, PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Situasi akan menjadi lebih sukar sekiranya persaingan merebut kerusi Parlimen Simpang Renggam turut disertai Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Seperti yang berlaku dalam PRN Johor, undi mereka yang tidak menyokong BN akan berpecah sekaligus memberi kelebihan kepada BN.

Prestasi Maszlee sebagai Menteri Pendidikan era PH dahulu juga tidak begitu memberangsangkan.

Beliau lebih terkenal dengan ‘dasar kasut hitam’ yang memeningkan kepala ramai ibu bapa dan pembekal kasut sekolah berbanding memperkenalkan pembaharuan dalam dasar pendidikan negara.

Kontroversi lain melibatkan Maszlee adalah pelantikannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada September 2018.

Setelah dikecam pelbagai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku dari DAP, Lim Yi Wei, Maszlee akhirnya mengumumkan peletakan jawatannya di UIAM pada 7 Januari 2019.

Titik kejatuhan kerjaya politik Maszlee bermula apabila beliau dinasihatkan oleh Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

Maszlee meletak jawatan pada 3 Januari 2020. Dr. Mahathir ibarat menambah garam ke dalam luka Maszlee apabila beliau sendiri yang memangku portfolio Menteri Pendidikan selepas itu.

Segala kelemahan yang dimiliki Maszlee itu menyukarkan misi beliau untuk menggalas amanah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu Simpang Renggam dipertahankan habis-habisan.

Lagipun, rakyat masih tertanya-tanya bilakah kutipan tol di Simpang Renggam akan dimansuhkan, selaras dengan janji PH dalam manifesto PRU14 dahulu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast