ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

PETALING JAYA – Polis berjaya mematahkan kegiatan mencuri pakaian berjenama yang mensasarkan kedai dan butik pakaian terkemuka dengan penahanan 11 orang warga asing dan seorang lelaki tempatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pada 3 Oktober lalu kira-kira jam antara 4.30 petang sehingga 8.30 malam, polis  menerima laporan kecurian pakaian daripada tiga premis perniagaan yang beroperasi di dalam sebuah pasar raya di sekitar Kelana Jaya.

Siasatan mendapati, kejadian berlaku pada jam 3 petang apabila pengadu seorang warga tempatan merupakan penyelia di sebuah premis pakaian berjenama itu mendengar bunyi penggera pada pintu keluar.

Dia melihat seorang lelaki meluru menuruni eskalator meninggalkan rakannya seorang wanita warga asing yang masih berada di dalam premis berkenaan.

“Pengawal keselamatan di lokasi yang kebetulan menyedari insiden itu berjaya menahan wanita tersebut lalu menyerahkan kepada polis.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku antara jam 2.30 petang sehingga jam 3 petang dan jumlah kehilangan pakaian adalah sebanyak 142 helai pakaian (pelbagai jenama) dengan anggaran kerugian berjumlah RM17,561.50,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Soal siasat ke atas wanita itu membawa kepada serbuan di dua buah hotel di Kuala Lumpur pada hari sama.

Hasil serbuan itu berjaya membawa kepada tangkapan seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 51 tahun serta tiga lelaki dan tujuh wanita warga asing yang berumur antara 26 tahun sehingga 47 tahun.

Pemeriksaan lanjut di dalam bilik hotel tersebut membawa kepada penemuan dan rampasan pelbagai barangan iaitu 67 helai pakaian pelbagai jenis dan jenama, 13 buah telefon bimbit, 11 pasport antarabangsa milik suspek dan tiga bagasi.

Kumpulan ini telah bergiat aktif dalam kegiatan mencuri pakaian berjenama di 17 buah pasar raya di sekitar Lembah Klang sejak Mac tahun ini dan kesemua barangan hasil curi akan dibawa pulang suspek ke luar negara untuk dijual di sana.

“Modus operandi sindiket ini bergerak secara berkumpulan dan akan sentiasa berpindah dari satu hotel ke hotel lain manakala suspek warga tempatan disyaki membantu pergerakan mereka dan melakukan penghantaran barang curi menerusi kurier ke luar negara,” ujar beliau.

Mohamad Fakhrudin berkata, sebanyak 17 kes kecurian pakaian berjenama membabitkan sindiket berkenaan dilaporkan dalam daerah Petaling Jaya sejak Mac 2022 sehingga tertangkapnya kumpulan sindiket ini.

Tangkapan ini berjaya menyelesaikan tujuh kes dalam daerah tersebut.

Kes g disiasat di bawah seksyen 380 kanun keseksaan kerana kesalahan mencuri dalam bangunan dan kesemua suspek telah ditahan reman sehingga 22 Oktober ini untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette