KUALA LUMPUR – Sebanyak 58 kenderaan pelbagai jenis disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di sini hari ini.
Timbalan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Zulkifly Ismail berkata, operasi dibuat bagi memastikan jalan raya bebas daripada pemandu warga asing yang tidak mempunyai lesen serta salah guna kenderaan.
“Ops PEWA kali ini menfokuskan kepada kenderaan perdagangan yang diubah suai untuk pelbagai aktiviti. Daripada 58 kenderaan yang disita, ia membabitkan lapan lori, 12 van, 25 motosikal, enam forklift dan tujuh motosikal beroda tiga,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Zulkifly, semua pemilik kenderaan tidak dibenarkan memberi kebenaran kepada warga asing untuk memandu kenderaan sekiranya mereka tiada lesen serta dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kita dapati terdapat segelintir rakyat Malaysia yang membenarkan mereka menyewa atau guna kenderaan milik warga tempatan tanpa lesen. Tindakan penguatkuasaan ke atas pemilik kenderaan berdaftar boleh diambil jika bersalah,” ujarnya.
Jelas Zulkifly, sebanyak 239 notis dikeluarkan dengan 143 daripadanya didapati tiada lesen, 66 saman pula kerana insurans tamat tempoh dan bakinya atas lain-lain kesalahan.
Operasi selama tiga jam yang bermula pukul 7 pagi itu turut melibatkan Jabatan Imigresen dengan sebanyak 52 warga asing ditahan kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.
Ia membabitkan sebanyak 16 warga Myanmar, Bangladesh (16), Indonesia (enam) serta dua orang warga India yang ditahan menerusi kekuatan anggota seramai 79 orang termasuk tujuh dari Imigresen. – MalaysiaGazette