BN kerusi
Gambar hiasan

NEGERI SEMBILAN merupakan antara negeri yang menjadi sasaran Barisan Nasional (BN) untuk dimenangi kembali setelah jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan tidak dibubar serentak dengan Parlimen, keputusan yang dicapai BN di lapan kerusi Parlimen yang bakal ditandinginya pada PRU15 boleh memberi gambaran awal mengenai peluangnya kembali mentadbir negeri itu.

BN dijangka tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Rembau, Jelebu dan Jempol yang gagal ditembusi PH pada PRU14.

UMNO masih mempunyai kekuatan di ketiga-tiga kawasan Parlimen tersebut berbanding parti-parti lawan seperti PKR, Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Walaupun tidak menjadi kerajaan negeri, jentera BN di Rembau, Jelebu dan Jempol tetap meneruskan khidmat bakti kepada rakyat terutamanya ketika negara berdepan krisis pandemik Covid-19 dahulu.

Rakyat pasti tidak melupakan kesungguhan jentera BN membantu mereka ketika berdepan kesulitan meskipun sepatutnya kerajaan negeri di bawah PH yang turun padang meringankan beban penduduk.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kali pertama bertanding kerusi Parlimen dilihat mampu mempertahankan penguasaan BN di Rembau.

Begitu juga dengan Datuk Seri Jalaluddin Alias di Jelebu dan Datuk Seri Mohd. Salim Sharif di Jempol, sekiranya mereka dicalonkan semula.

BN dijangka tidak berdepan kesukaran untuk mendapatkan semula kerusi Parlimen Tampin dan Kuala Pilah yang terlepas ke tangan PH pada PRU14.

Majoriti yang dimenangi oleh calon PKR dari Bersatu, Datuk Eddin Syazlee Shith agak tipis iaitu hanya 200 undi mengatasi calon BN, Datuk Seri Hasan Malek.

PKR yang diwakili pemimpin Amanah, Datuk Dr. Hasan Bahrom juga tidak menang besar di Tampin. Beliau hanya beroleh majoriti 1,002 undi mengatasi calon BN, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Dua kerusi tradisi BN itu pasti dapat dimenangi semula sekiranya isu-isu yang berlaku semasa PRU14 dapat diatasi khususnya daripada segi pemilihan calon yang lebih diterima masyarakat setempat dan jentera parti.

Kerusi Parlimen Port Dickson pasti menjadi tumpuan ramai sekiranya BN meletakkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bertanding di situ.

Pertembungan akan menjadi sangat sengit sekiranya PH mencalonkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sebagai pemimpin muda yang berkaliber, Khairy memiliki kemampuan untuk memastikan penguasaan PKR di Port Dickson sejak tiga penggal lalu berakhir kali ini.

PH juga pasti menerima tamparan hebat apabila Aminuddin yang merupakan ‘ayam tambatan’ mereka tewas, sekaligus membayangkan penolakan rakyat terhadap kepimpinannya di Negeri Sembilan.

Baki dua lagi kerusi iaitu Rasah dan Seremban sememangnya dikenali sebagai kubu kuat DAP. Namun, tidak mustahil BN yang lazimnya diwakili oleh MCA boleh menang, jika kena dengan pendekatan dan strateginya.

Secara keseluruhan, BN dijangka menang selesa di lima kerusi Parlimen di Negeri Sembilan. Kemenangan di Port Dickson pula bakal menjadi ‘bonus’ yang diperlukan dalam misinya kembali ke Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri (PRN) kelak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast