PUTRAJAYA – Mitos mengatakan penggunaan rokok elektronik atau vape lebih selamat perlu ‘ditewaskan’, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Ini kerana jutaan pengguna rokok elektronik atau vape negara ini berdepan penyakit kecederaan paru-paru yang dikenali sebagai E-Cigarette Or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (Evali), katanya.
Beliau berkata, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) tahun 2019 menunjukkan terdapat kira-kira 1.1 juta pengguna rokok elektronik atau vape di Malaysia dan jumlahnya semakin bertambah hingga memerlukan kejadian penyakit Evali perlu dipantau.
Katanya lagi, bagi kes Evali yang dilaporkan di Malaysia sehingga kini merekodkan dua kes pada tahun 2019 manakala lapan kes dikenal pasti melalui kajian Pusat Perubatan Universiti Malaya pada tahun 2021.
“Namun jumlah yang dilaporkan ini berkemungkinan lebih rendah dari jumlah kes yang sebenar akibat tiadanya garis panduan serta penerangan tentang Evali. Penyakit ini sangat bahaya dan ia wujud dan mitos mengatakan ia lebih selamat dari rokok tembakau tapi tidak bermakna ia sifar risiko.
“Jadi mitos yang kita perlu tewaskan adalah rokok elektronik selamat. Mungkin mudaratnya tidak seperti tembakau tapi tidak memberi makna tiada mudarat langsung.
“Tambah lagi sekarang rokok elektronik adalah sesuatu tidak terkawal, kita pun tidak tahu cecair dijual dalamnya,” katanya ketika menyampaikan ucapan pelancaran Panduan Amalan Klinikal Pengurusan Evali di sini hari ini.
Khairy turut menempelak pihak yang mendakwa Evali tidak wujud sebaliknya menegaskan bermula Jun hingga September tahun ini sebanyak empat kes disyaki Evali telah dilaporkan kepada pihaknya dan sedang dalam penyiasatan lanjut para pegawai di lapangan.
Penyakit tersebut didiagnosa pada tahun 2019 di Amerika Syarikat apabila sebanyak 2,800 kes kecederaan paru-paru dan 68 kematian.
Menurut beliau, walaupun Evali hanya bertumpu pada sistem pernafasan, penggunaan rokok elektronik atau vape boleh menyebabkan gejala selain gejala pernafasan seperti kebas anggota badan, berdebar-debar dan halusinasi.
“Keadaan ini sangat berisiko dan dapat meningkatkan kadar morbiditi dan kematian malah anggaran kos bagi merawat seorang pesakit Evali yang dimasukkan ke dalam hospital selama empat hari adalah sebanyak RM50,297.37,” tambahnya.
Justeru bagi memantau memantau perkara berkenaan, terdapat dua kriteria utama yang perlu ada bagi diagnosa Evali iaitu sejarah pendedahan kepada rokok elektronik atau vape dan terdapat perubahan radiologi pada x-ray atau CT-Scan paru-paru.
“Berdasarkan definisi Evali oleh CDC pada tahun 2019, pengesanan dan rawatan awal boleh diberikan kepada pesakit-pesakit yang disahkan mengidap Evali supaya komplikasi jangka panjang dapat dikurangkan dan seterusnya mengurangkan kos rawatan.
“Bayangkan jika intervensi awal tidak dilakukan atau pun tabiat ini tidak dicegah, pastinya beban kerajaan dalam menanggung kos-kos rawatan penyakit akibat komplikasi rokok konvensional dan rokok elektronik akan bertambah,” jelasnya.- MalaysiaGazette