KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta kerajaan supaya bertindak lebih tegas terhadap dakwaan operasi agensi perisikan Israel, Mossad di negara ini.
Menurutnya, Kementerian Luar Negeri sewajarnya mengemukakan nota bantahan kepada Israel selain membawa isu tersebut ke peringat antarabangsa.
Tindakan Israel perlu dikutuk sekeras-kerasnya kerana melakukan operasi keganasan di Malaysia.
Ahmad Zahid berkata, operasi berkenaan mendedahkan Israel juga mempunyai aset risikan di Malaysia dan harus dibanteras segera.
Selain itu Presiden UMNO itu berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu membuat kenyataan yang lebih menyeluruh dan bukan hanya peringkat baru meneliti.
Ini kerana KDN mempunyai mekanisme yang efisien dalam sistem keselamatan negara.
“Sudah tentu 32 juta rakyat Malaysia sedang tertunggu-tunggu langkah kerajaan bagi menangani situasi ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang dan pihak yang terlibat dengan perisikan asing yang berniat jahat diambil tindakan yang tegas tanpa kompromi.
“Setinggi-tinggi syabas diucapkan kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang berjaya menumpas perculikan warga asing oleh agen perisikan asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid berkata, operasi agensi perisikan asing sangat serius kerana membabitkan negara luar.
Lebih membimbangkan ia melibatkan negara seperti Israel yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Tindak tanduk Israel dalam isu penculikan tersebut jelas tidak menghormati kedaulatan negara malah tindakan itu juga seolah-seolah mencabar kedaulatan negara dan merupakan ancaman kepada Malaysia.
“Bayangkan orang awam biasa yang tidak berdosa boleh tercedera atau berlakunya kematian dengan operasi haram di negara kita, jika terus berterusan operasi haram mereka.
“Penegasan aspek keselamatan dan kedaulatan negara amat penting bagi memastikan tidak ada negara berani melakukan provokasi dan membuat onar di negara kita,” katanya.
Ahmad Zahid juga berharap pembentukan kerajaan yang baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 akan mempunyai peneraju kementerian yang lebih cekap dan proaktif.
Laporan sebuah media sebelum ini mendakwa Mossad telah merekrut warga Malaysia bagi menculik seorang rakyat Palestin di negara ini.
Mangsa berjaya diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor serta Melaka dari 29 September hingga 4 Oktober lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan berhubung penculikan tersebut.
Beliau mengesahkan, semua 11 tertuduh yang didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur minggu lalu merupakan suspek dalam kes penculikan itu bagi mendapatkan maklumat mengenai perisian untuk menggodam telefon bimbit.-MalaysiaGazette