Penghantar makanan mangsa kemalangan maut pertama di Lebuhraya DASH malam tadi. - Gambar iIhsan IPD PJ.

KUALA LUMPUR – Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) semalam merekodkan kemalangan maut yang pertama selepas laluan baharu itu telah dirasmikan pada minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan jalan raya di DASH pada pukul 12.05 tengah malam.

“Polis yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku di Kilometer 15.7 Lebuhraya DASH dari arah Penchala menghala ke Denai Alam.

“Mangsa kemalangan maut telah dikenal pasti seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun menunggang motosikal jenis SYM VF3I telah disahkan maut di lokasi kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, semasa kejadian berlaku, mangsa yang bekerja sebagai penghantar makanan e-hailing dalam perjalanan pulang dari Bandar Sri Damansara menuju arah Puncak Perdana, Shah Alam bersama sembilan rakannya yang lain.

Fakhrudin menambah, ia merupakan kali kedua kemalangan dilaporkan di lebuh raya berkenaan namun kejadian pertama tidak membabitkan kematian.

Polis sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca kemalangan tersebut.

Saksi kejadian di lokasi kemalangan diseru agar tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017 737 8704 bagi membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette