KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat persiapan rapi bagi menjaga keselamatan pada perlawanan akhir Piala AFC 2022 antara Kuala Lumpur City FC dan kelab Al-Seeb di Stadium Bukit Jalil, di sini esok.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pemeriksaan tubuh, beg serta barangan akan dilakukan di setiap pintu masuk stadium.
Tambah beliau, antara barang terlarang yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium adalah mercun, bunga api, suar; topi keledar, pen laser, objek tajam (besi/kayu), senjata seperti parang, minuman keras, payung, tongkat, powerbank, botol air, pemetik api, mancis, rokok dan vape.
Selain itu, katanya, PDRM juga akan memastikan aliran trafik di sekitar stadium berjalan lancar bagi memudahkan pergerakan orang ramai yang menuju ke stadium.
Untuk kelancaran lalu lintas, beliau menasihatkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam ke Stadium Nasional Bukit Jalil, elakkan melalui jalan-jalan di sekitar stadium itu jika tidak menonton perlawanan akhir itu.
“Sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan daripada anggota polis yang bertugas, pengguna jalan raya tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar stadium.
“Tindakan saman dan tunda akan diambil kepada kenderaan yang menghalang lalulintas manakala pengguna jalan raya dinasihati supaya mengamalkan sikap bersabar, berhemah dan bertolak-ansur semasa memandu kenderaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu, PDRM meminta orang ramai agar sentiasa memakai pelitup muka di tempat yang sesak bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit. – MalaysiaGazette