COQAHE
Graduan COQAHE ceria selepas menerima sijil pentauliahan masing-masing yang disampaikan Mohd Adib. Abd. Rahman (duduk, tengah).

PUTRAJAYA – Seramai 19 pegawai dari institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menjadi penerima sulung kelayakan Certified Officer in Quality Assurance of Higher Education (COQAHE) daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pengerusi Majlis MQA, Tan Sri Mohd. Adib Abd. Rahman berkata, graduan COQAHE ialah mereka yang kompeten dan berperanan sebagai sumber rujukan penting dalam ekosistem jaminan kualiti institusi pengajian tinggi yang mampu meningkatkan imej pendidikan di negara ini.

Beliau berkata, kumpulan tersebut akan memastikan jaminan kualiti dalaman (IQA) di IPT dapat menyokong dan memperkukuh skop penjaminan kualiti yang dilaksanakan MQA selaku badan akreditasi tunggal di negara ini yang bertanggungjawab untuk menjalankan jaminan kualiti luaran (EQA).

Katanya, inisiatif program COQAHE yang dibangunkan sejak tahun 2017 dan mula ditawarkan sejak 2020 melalui Pusat Latihan Jaminan Kualiti Malaysia (MQATC) ini menjadi satu daripada usaha yang membanggakan dalam 25 tahun sejarah penubuhan MQA.

“Pembangunan modul berstruktur ini telah dilaksanakan dengan gabungan pakar jaminan kualiti dalam negara MQA yang turut membabitkan pakar My Higher Education Quality Assurance Network (MyQan).

“Pada masa akan datang, MQA berhasrat untuk menawarkan program ini di peringkat antarabangsa bagi membantu pembangunan kapasiti badan jaminan kualiti di luar negara untuk memperkukuh jaminan kualiti di peringkat IPT di negara mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi COQAHE di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran; ahli-ahli Majlis MQA, pengurusan MQA, barisan pembangun modul COQAHE dan wakil IPT yang menerima pentauliahan berkenaan.

Sementara itu, Mohammad Shatar berkata, penganjuran program COQAHE selaras dengan Bidang 7 dalam Kod Amalan Akreditasi Program (COPPA) 2.0 yang menetapkan setiap IPT hendaklah mempunyai unit IQA.

Katanya, program itu menyasarkan dalam kalangan pegawai IQA di IPT yang berminat untuk menambah ilmu dalam bidang jaminan kualiti bagi pendidikan tinggi.

“Sifat dinamik pendidikan tinggi menuntut kita untuk lebih kreatif dan inovatif, justeru elemen pemudah cara perlu disuntik dalam diri Certified Officer dalam melaksanakan penjaminan kualiti untuk merealisasikan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global,” katanya. – MalaysiaGazette