Kredit foto Aziziang Photography.

KUALA LUMPUR – Azwan Omar atau lebih popular dengan gelaran Abang Viva akhirnya bersuara bagi menjelaskan situasi yang kini menjadi bualan netizen selepas didakwa berkahwin tanpa restu dan pengetahuan keluarga,

Menerusi siaran langsung (live) di Facebook malam tadi, Azwan memohon semua pihak agar mendoakan yang terbaik buatnya dan keluarga.

Azwan juga meminta semua pihak memberikan dirinya ruang untuk menyelesaikan salah faham yang berbangkit secara tenang dan tertutup bersama keluarganya.

“Saya mohon semua pihak mendoakan yang baik-baik. Bagi saya dan keluarga ruang.

“Doakan kami dan kami akan bincang secara tertutup. Saya memang akan balik ke rumah ibu bapa, itu dah pasti… insyaAllah,” katanya dalam siaran langsung tersebut.

Mengulas dakwaan kononnya dia berkahwin tanpa pengetahuan ibu dan bapa, Azwan dengan tegas menafikan perkara berkenaan selain turut menunjukkan paparan perbualannya bersama ibu di aplikasi WhatsApp sebagai bukti.

“Saya bukan bernikah tanpa pengetahuan ibu dan ayah seperti yang diceritakan. Saya bernikah memang dengan pengetahuan ibu dan ayah.

“Saya dah beritahu ayah tiga kali yang saya nak berkahwin, manakala dengan ibu pula saya dah lima kali cakap nak berkahwin. Cuma mereka tidak bersetuju sangat dengan calon yang saya pilih.

“Kali terakhir saya beritahu (nak kahwin) adalah pada 12 Oktober (dua hari sebelum bernikah).

“Selepas nikah, pada 15 Oktober saya ada WhatsApp, 16 Oktober pun saya mesej beritahu dah kahwin. Saya hantar gambar kahwin saya dekat mak berserta video akad nikah sebab saya baru dapat waktu tu,” katanya lagi.

Untuk rekod, Azwan yang mula popular selepas aktif dalam misi bantuan banjir selamat bernikah dengan pilihan hatinya yang dikenali sebagai Evanoza Zakaria pada 14 Oktober lalu.

Azwan menambah, dia dan isterinya sepakat untuk bernikah lebih awal dari tarikh asal yang sepatutnya dilangsungkan pada Disember atas sebab-sebab tertentu antaranya mengelakkan fitnah dan salah faham orang ramai.

Dia berkata dia terpaksa membuat penjelasan menerusi siaran langsung bagi membetulkan salah faham banyak pihak terhadap dirinya sambil engakui terkesan dengan apa yang berlaku lebih-lebih lagi kisah pernikahannya dan konflik dengan keluarga tular di media sosial.

“Ada tanya kenapa tak bincang dalam grup WhatsApp keluarga? Sebabnya, saya telah dikeluarkan dari grup. Saya kena kick oleh kakak sendiri.

“Ketika itu saya turun ke Baling, Kedah untuk misi bantuan banjir sekitar Julai lalu. Tipulah kalau tak ambil hati, tapi saya anggap ini ujian selepas berkahwin.

“Saya akui, mak dan ayah nombor satu… saya akan balik. Tapi saya tak mahu cerita lebih, akan buka benda tak sepatutnya. Saya tak nak jadi seperti pihak sana. Mohon doakan yang baik-baik,” katanya lagi.

Semalam, isu membabitkan Azwan hangat diperkatakan di media sosial susulan hantaran seorang wanita di Facebook, yang dipercayai kakaknya, iaitu Fauziyah Omar.

Dalam posting tersebut, wanita berkenaan mendakwa Azwan berkahwin tanpa restu keluarga dan telah mengabaikan orang tuanya sejak berkenalan dengan isterinya.

Pendedahan kontroversi tersebut mengundang spekulasi daripada netizen, lebih-lebih lagi Azwan baru sahaja melangsungkan pernikahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast