PETALING JAYA – Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad melahirkan rasa hairan terhadap keputusan Pakatan Harapan (PH) yang enggan bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA).
Penyandang kerusi Parlimen Shah Alamitu berkata, Amanah berpendirian bahawa parti pembangkang seharusnya bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, beliau tidak faham mengapa terdapat penolakan yang kuat terutamanya daripada PKR.
“Seperti yang kita tahu Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mohon untuk bertemu PH. Tapi malangnya, pimpinan PH memutuskan untuk tidak meneruskannya.
“Amanah sentiasa berpendirian bahawa pembangkang perlu bersatu supaya kita dapat memaksimumkan kerjasama dengan semua parti pembangkang,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat PKR selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa PH berhubung peruntukan kerusi Parti Ikatan Demokratik (MUDA) di sini hari ini.
Khalid berkata, mana-mana parti pembangkang yang mendapat sokongan rakyat seharusnya tidak dikesampingkan seperti MUDA yang ada sokongan, begitu juga Pejuang.
“Tetapi saya rasa pendirian Amanah tidak diterima atas apa jua alasan. Cadangan dan permintaan Pejuang untuk berjumpa telah ditolak.
“Tiada sebab mengapa kita tidak boleh bekerjasama dalam pilihan raya,” ujarnya.
Artikel berkaitan: Tun M tak kisah dituduh jilat ludah kerjasama dengan Anwar jatuhkan UMNO
Bagaimanapun Khalid berkata, pihaknya akur dengan keputusan yang dibuat oleh PH kerana tidak mahu berlaku perrtelagahan.
Semalam, Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail berkata, gabungan itu bersedia menghadapi pilihan raya tanpa Pejuang dan Dr Mahathir.
Ia adalah susulan kenyataan Dr Mahathir yang bersedia untuk bertemu Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk cuba membentuk kerjasama politik.
Sebelum ini, Anwar membayangkan masih ada peluang untuk bekerjasama dengan penyandang kerusi Parlimen Lankawi itu dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, parti komponen lain menolak pelawaan itu dengan mengatakan ia tidak mungkin berlaku. – MalaysiaGazette