KUALA LUMPUR – Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak kisah dituduh tidak tahu malu kerana bekerjasama dengan musuh politiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim demi untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Dr. Mahathir berkata, kata-kata cerca bahawa beliau menjilat semula ludah kerana bekerjasama dengan Presiden PKR untuk mengalahkan UMNO dan BN tidak memberi sebarang kesan terhadapnya.
Pengerusi Perjuang itu menegaskan, apa yang penting adalah untuk mencapai matlamat menyekat Datuk Seri Najib Razak, UMNO dan BN daripada berkuasa semula selepas PRU-14.
Beliau mendakwa Najib, UMNO dan BN adalah “kejahatan” yang perlu ditewaskan.
“Kerana itu saya bersedia bertemu dengan Datuk Seri Anwar kerana saya percaya dia juga berfikir semacam dengan saya.
“Jika saya yang perlu memulakan langkah saya akan melakukan. Orang nak kata tak tahu malu, atau jilat ludah semula tidak beri kesan kepada saya.
“Yang penting matlamat kita untuk menyekat kemaraan orang yang merosakan negara tercapai. Kejatuhan Najib menunjukkan kita telah lakukan sesuatu yang menjayakan kita,” katanya dalam klip video terbaharu yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Dr. Mahathir mengulas tuduhan beliau dikatakan terhegeh-hegeh bertemu musuhnya apabila mahu membuat percaturan politik.
Contoh yang paling kerap digunakan adalah berkaitan kerjasama beliau dengan Anwar untuk menjatuhkan Kerajaan BN pimpinan Najib pada PRU-14.
Anwar merupakan musuh politik Dr. Mahathir sejak tahun 1999 dan Dr. Mahathir yang merupakan perdana menteri ketika itu menuduh Anwar iaitu timbalannya melakukan hubungan sejenis.
Anwar kemudiannya dihumbankan ke dalam penjara selepas didapati bersalah oleh mahkamah.
“Bagi saya perasaan peribadi, bersikap sombong ego, kepentingan diri tidak ada tempat dengan sesuatu perjuangan terutamanya apabila terkait agama, bangsa dan tanah air.
“Semasa saya pergi bertemu Datuk Seri Anwar di mahkamah perkara utama yang ada dalam fikiran saya ialah bagaimana cara untuk menyekat Datuk Seri Najib dan kerajaan UMNO BN pimpinannya daripada terus berkuasa. Ketika itu seluruh dunia melapor puluhan bilion wang rakyat dirompak oleh Najib.
“Jika Najib dan kerajaan itu tidak dijatuhkan pengkhianatan mereka akan tersembunyi selain mereka dapat terus menyamun,” dakwa Mahathir yang akan mempertahankan Parlimen Langkawi pada PRU-15,” katanya.
Dr. Mahathir berkata, beliau perlu bekerjasama dengan bekas musuh seperti Anwar yang juga bersetuju untuk menyekat UMNO dan BN.
Untuk rekod, Anwar dan PH telah menolak untuk bekerjasama dengan Mahathir dalam PRU-15.
Ini kerana Dr. Mahathir tidak menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar seperti yang dijanjikan semasa kedua-dua pihak mahu menjalinkan kerjasama semasa PRU-14.
Dr. Mahathir turut meletakkan jawatan perdana menteri yang menjadi salah satu punca Kerajaan PH yang dimenangi pada PRU-14 jatuh selepas mentadbir hanya selama 22 bulan.-MalaysiaGazette