KUALA SELANGOR – Orang ramai yang berkunjung ke Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia Negeri Selangor Khamis lalu melahirkan rasa teruja lantaran dapat merasai sendiri pengalaman yang cukup bermakna.

Rata-rata pengunjung yang ditemui MalaysiaGazette mengakui tidak rugi meluangkan masa menghadiri karnival tersebut yang disifatkan bermanfaat.

Malah, ada juga pengunjung tidak menyangka karnival tersebut berjaya menarik minat ramai pengunjung meskipun program tersebut dibuat pada hari bekerja.

Ada juga dalam kalangan pengunjung berpandangan, bukan mudah untuk mengumpulkan orang ramai dalam satu program namun penganjur telah berjaya melakukannya.

Seorang pengunjung, Nooraisyah Shamsuddin, 32, merasa sangat seronok menghadiri program seperti itu yang sememangnya jarang-jarang diadakan di negeri Selangor.

Dia terkejut melihat sambutan memberangsangkan terhadap program tersebut yang menawarkan pelbagai tarikan dan ilmu yang bermanfaat.

“Program ini meriah sangat, kami dapat kupon dan makan percuma…kalau dapat lucky draw lagi best.

“Saya dapat berjumpa dengan Tengku Zafrul dan Tan Sri Noh Omar dalam program ini, memang terbaiklah,” katanya.

Nooraisyah Shamsuddin

Rakannya, Nooraida Idris, 37, pula memberitahu, tidak rugi hadir ke karnival tersebut kerana boleh mendapatkan pelbagai jenis barang dengan harga murah.

Dia merasa cukup bertuah kerana dapat bersama dalam program yang sangat bermanfaat seperti itu di mana banyak info-info berguna diperoleh melalui slot-slot yang diatur oleh penganjur.

“Tahniah kepada seluruh warga negeri Selangor yang hadir. Rugilah kepada mereka yang tidak datang.

“Saya datang sini pun sebab nak bagi galakan kepada sahabat-sahabat usahawan yang mengambil peluang berniaga pada program ini,” ujarnya.

Nooraida Idris

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, U. Nandini, 49, berkata, program seperti ini banyak memberi peluang kepada golongan wanita khususnya mereka yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Katanya, ia boleh memberi galakan kepada wanita muda untuk mendapatkan ilmu daripada usahawan lain.

“Pada pandangan saya, golongan wanita yang mencebur diri dalam perniagaan perlu sertai program-program yang semacam ini.

“Saya amat gembira dapat lihat usahawan wanita khususnya mereka yang terlibat secara mikro,” katanya.

U. Nandini

Beliau turut mencadangkan agar program-program seperti itu diperluaskan di setiap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri supaya golongan wanita dari golongan B40 turut mendapat manfaat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast