Saifuddin Abdullah

KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) Bahagian Indera Mahkota mencadangkan nama penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah kepada pucuk pimpinan untuk bertanding semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15.

Saifuddin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia  (Bersatu) berkata,  beliau tidak menolak untuk bertanding di kerusi tersebut jika dicalonkan semula oleh pimpinan PN.

Pengerusi PN Pahang itu memenangi kerusi Parlimen Indera Mahkota dalam PRU14 dengan majoriti 10,950 undi.

Pada ketika itu Saifuddin mewakili Pakatan Harapan (PH) memperoleh 28,578 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Dr Johan Mat Sah (17,628 undi) dan calon Pas, Nasrudin Hassan Tantawi mendapat 17,515 undi.

“Kalau ikut bahagian Bersatu Indera Mahkota dan PN Indera Mahkota, mereka mencadangkan saya bertanding semula di sini

“Saya bersedia untuk bertanding semula, apa-apa pun, bergantung kepada keputusan yang akan dibuat oleh majlis tertinggi PN,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini semasa menyantuni kaum India sempena sambutan Deepavali di Semambu, Kuantan hari ini.

Dalam pada itu, salah seorang penerima sumbangan sempena perayaan Deepavali itu, Joseph Gabriel, 28 tahun melahirkan rasa kesyukuran kerana menerima sumbangan bakul makanan sebagai tanda ingatan daripada pemimpin itu.

Baginya sambutan Deepavali kali ini penuh makna apabila disambut ketika musim pilihan raya dan Monsun Timur Laut.

“Saya sangat gembira, bantuan dapat meringan beban persiapan terakhir, kami kejiranan bergading bahu dengan penduduk di sini buat persiapan akhir sambutan Deepavali walaupun musim banjir dan bahang PRU semakin tiba.

“Sebagai rakyat Malaysia dan pengundi berharap PRU15 akan diadil dengan selamat dan tulus, harapan dapat pilih calon Perdana Menteri yang menyokong rakyat di seluruh Malaysia,” katanya.

Christina Devadathom, 33, pula menyifatkan sumbangan yang diterima membantunya dalam penyediaan kuih-muih pada sambutan Deepavali.

“Deepavali kali ini seronok tapi risau juga banjir, tapi lebih menarik dekat musim mengundi, jadi saya pun harap semua perubahan sektor untuk negara,” ujanya seloroh. – MalaysiaGazette