KUALA LUMPUR – Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkongsi kejayaan menundukkan ‘keangkuhan’ Amerika Syarikat (AS) yang menyekat kemasukan minyak sawit negara.
Menurut Datuk Zuraida Kamaruddin, kementeriannya menepis tohmahan kuasa besar dunia itu yang mendakwa industri tersebut menggunakan buruh paksa.
“AS sekat minyak sawit kita dan tuduh kita guna buruh paksa sebab nampak budak main biji sawit, kononnya budak ini jadi buruh paksa.
“Walhal peneroka kita memang tinggal di ladang bersama keluarga. Maka saya katakan pada AS, kawasan itu sudah tentu jadi tempat permainan anak peladang,” katanya dalam ucapan perasmian Program Jom Kenali Agrikomoditi di sini, hari ini.
Jelas Zuraida, berikutan dakwaan berkenaan, kementeriannya segera mengadakan lawatan khas ke negara tersebut bagi mencapai resolusi.
“Saya katakan kepada mereka, jangan buli kita. Dekat negara anda tiada sawit, negara saya yang ada sawit. Kita tanam sampai 25 tahun baru tebas dan tanam semula. Tapi anda setiap tahun tebas, tiada lestari,” ulasnya.
Tambahnya, AS cuba mencari kesalahan lain dengan mendakwa Malaysia mengamalkan penebangan hutan selepas gagal membalas hujah dikemukakan.
“AS tuduh kita tak kekalkan kehijauan. Saya kata, polisi negara ini mengekalkan lebih 55 peratus kehijauan hutan, tapi negara Eropah hanya 30 ke 34 peratus sahaja. Kita lagi bagus,” ujarnya.
Zuraida berkata, AS akhirnya bertindak dengan lebih berhemah apabila Malaysia terbukti melaksanakan pelbagai inisiatif menghapuskan buruh kanak-kanak melalui ratifikasi konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan Malaysia turut mendapat permintaan tinggi dari AS yang ingin mengimport komoditi getah.
Ia berikutan negara mampu mencipta teknologi seismic rubber bearing yang berupaya mengukuhkan struktur bangunan jika berlaku gempa bumi. – MalaysiaGazette