Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – PKR meminta Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Hasan Arifin menjelaskan penglibatan Widad Business Group Sdn Bhd (Widad) dalam projek pembinaan loji turbin gas kitaran gabungan (CCGT) di Kapar, Selangor yang bernilai RM9.5 bilion.

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung mendakwa, syarikat tersebut tidak mempunyai pengalaman dalam pembinaan loji turbin gas.

“Semakan maklumat korporat mendapati bahawa Widad hanya sebuah syarikat yang bersaiz kecil/sederhana (RM1 bilion pada bulan September 2022) jika berbanding dengan TNB (RM48 bilion),” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, TNB sepatutnya mempunyai kemampuan untuk membangunkan loji kuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkenaan.

“Yang luar biasa adalah projek tersebut akan dilaksanakan melalui usaha sama antara TNB dengan Widad dengan TNB memegang 60 peratus kepentingan dan Widad memegang 40 peratus.

“TNB merupakan syarikat gergasi elektrik yang terbesar di Malaysia. Ianya mempunyai serta telah membina loji kuasa yang terbanyak, menguasai grid pengagihan kuasa, serta merupakan pembeli elektrik terbesar di negara ini. Persoalannya, mengapakah TNB tidak boleh membangunkan loji kuasa ini dengan keupayaan sendiri?” soalnya.

Baru-baru ini dilaporkan, Widad bersama TNB telah memperoleh surat hasrat (LOI) daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk projek pembangunan loji CCGT.

Projek itu yang akan dibangunkan di atas tanah milik TNB di Kapar, Selangor melibatkan pembangunan CCGT 2,100 megawatt.

Tarikh operasi komersial loji berkenaan dijangka pada 2031. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast