KUALA LUMPUR – Parti Putra menempelak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada Sabah dan Sarawak sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) November ini.
Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, ini bermakna kerajaan yang dibentuk pada 20 November ini sama ada BN atau PH akan mempunyai tiga TPM iaitu masing-masing satu dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Bagi meraih sokongan rakyat Sabah dan Sarawak, BN dan PH pakat berlumba mencadangkan dalam manifesto masing-masing jawatan TPM. Ini boleh dicatatkan dalam Guinness World Records.
“Selepas ini juga Polis Diraja Malaysia perlu menambah kereta peronda, anggota pengiring bermotosikal dan pengawal peribadi untuk keperluan tiga TPM.
“Selain itu, setiap TPM boleh melantik pegawai khas seramai mungkin bagi memastikan wang rakyat lebih banyak digunakan untuk perkara tidak berfaedah dan membazir ini,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Sabah bakal mempunyai TPM pertama sekiranya BN menawan Putrajaya pada PRU-15 ini.
Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, selain Sabah, BN juga mencadangkan TPM turut dilantik dari Sarawak dan Semenanjung agar jawatan kanan itu diisi oleh tiga wakil dari setiap wilayah.
Katanya, kewujudan tiga jawatan TPM itu bagi memastikan rakyat di setiap kawasan dapat dibela sebaiknya.
Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menawarkan jawatan TPM untuk Sabah dan Sarawak sekiranya parti itu memerintah.
Bercakap di Sandakan, beliau memberi jaminan akan mengekalkan cadangan sebelum ini supaya dua jawatan TPM diwujudkan jika gabungan itu dipilih menerajui kerajaan selepas PRU-15.
Anwar dilaporkan berkata, cadangan itu merangkumi seorang TPM masing-masing dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Mengulas lanjut, Ibrahim menegaskan, walaupun mempunyai tiga TPM sekali pun tetapi jika harga barang dan kos sara hidup terus naik dan hutang negara meningkat, tidak ada gunanya.
“Malah, kos belanja untuk tiga TPM boleh menampung kira-kira 500 keluarga miskin tegar setiap bulan.
“Sebenarnya jawatan ini tidak diperlukan. Tidak ada kuasa eksekutif pun kalau dilantik. Cukuplah dengan jumlah menteri sedia ada dan mereka boleh menjalankan tugas ketika perdana menteri bercuti atau keluar negara.
“Sebelum Dewan Rakyat dibubarkan 10 Oktober lalu pun hampir satu tahun negara tidak ada TPM, tidak ada seorang pun rakyat Malaysia meninggal dunia tanpa pelantikan TPM,” ujarnya.
Ibrahim berkata, politik di Malaysia terkini adalah politik membazir wang negara, pemimpin suka berjanji kosong dan membentang belanjawan untuk mengumpan rakyat tapi Parlimen dibubarkan.
Katanya, rakyat Sabah dan Sarawak tidak pernah meminta jawatan TPM melainkan mereka mahu layanan sama rata dengan Semenanjung dan janji M63 yang dipersetujui sebelum menyertai Malaysia pada tahun 1963.
“Jika diberi jawatan TPM untuk Sabah dan Sarawak, hanya dua orang dapat nikmat. Jika Sabah dan Sarawak dilayan dengan adil dan saksama, semua rakyat dapat faedah,” katanya. – MalaysiaGazette