Foto yang dikongsi di media sosial berkaitan penyiaran ucapan Najib di televisyen

KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyuarakan rasa tidak puas hati selepas sebuah stesen penyiaran menyiarkan temubual dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming antaranya mempersoalkan sama ada Najib berada di dalam penjara semasa penyiaran ucapan tersebut.

Serentak itu beliau mahu Jabatan Penjara Malaysia dan RTM memberikan penjelasan.

Beliau mendakwa penyiaran temubual Najib itu menghina undang-undang dan Rukun Negara.

“Betulkah Najib ada dalam penjara? Nampak dia seronok berkempen untuk BN di TV1 je. Pihak @penjaramalaysia dan @RTM_Malaysia wajib memberi penjelasan sebelum sistem undang-undang negara kita hancur dalam tangan perasuah.

“Amat sedih RTM diperkudakan untuk menyiar ucapan banduan penjara sebaliknya berita pemimpin Pakatan Harapan banyak disekat.

“Inilah akibat bila ada kerajaan gagal yang terang-terang menghina kedaulatan undang-undang dan Rukun Negara kita,” ciap beliau di Twitter.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Hannah Yeoh turut mempersoalkan bagaimana temubual Najib boleh disiarkan kerana beliau kini berada di dalam penjara.

Sedangkan, menurutnya, wakil rakyat pembangkang tidak diberikan peluang yang sama.

“Saya tak faham politik BN/PN – wakil rakyat pembangkang yang dipilih rakyat tak boleh masuk sekolah dan TV tapi yang dibenarkan masuk TV dan sekolah = banduan/mat rempit,” katanya di Twitter.

Difahamkan program yang menampilkan temubual Najib tersebut dirakam sebelum bekas perdana menteri itu menjalani hukuman penjara.

Program Kembara Keluarga Malaysia yang memaparkan temubual itu merupakan episod ke-56 yang menyiarkan laporan mengenai Pekan, Pahang dan disiarkan oleh RTM semalam.

Najib merupakan Ahli Parlimen Pekan ketika program tersebut dirakam. – MalaysiaGazette