Gambar hiasan

NEW DELHI – India menyaksikan peningkatan 55% dalam kematian akibat panas melampau antara tahun 2000-2004 dan 2017-2021, menurut satu kajian baru-baru ini yang diterbitkan dalam jurnal perubatan, The Lancet.

Pendedahan kepada haba juga menyebabkan kehilangan 167.2 bilion jam potensi kerja dalam kalangan pekerja India pada 2021, kata kajian itu.

Kehilangan jam kerja itu mengakibatkan kerugian pendapatan bersamaan kira-kira 5.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

India telah menghadapi gelombang haba yang semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Walaupun banyak bahagian di negara ini kerap mengalami gelombang haba pada musim panas tetapo pakar berkata, keadaan itu lebih lama dan kerap.

Laporan tahunan Lancet Countdown turut menyatakan gelombang panas yang melanda India dan Pakistan antara Mac dan April kerana perubahan iklim.

“Pendedahan kepada haba melampau menjejaskan kesihatan secara langsung, memburukkan keadaaan bagi penyakit kardiovaskular dan pernafasan dan menyebabkan strok haba,  corak tidur yang teruk, kesihatan mental yang lemah, dan peningkatan kematian berkaitan kecederaan,” kata kajian itu.

Awal tahun ini, satu kajian oleh Pejabat Met UK juga mendapati  perubahan iklim telah menyebabkan gelombang panas yang memecahkan rekod di barat laut India dan Pakistan lebih 100 kali .

Tanpa perubahan iklim, suhu melampau seperti itu hanya akan berlaku sekali setiap 312 tahun, katanya. – Agensi