BATU PAHAT – Pelaksanaan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) akan diperluaskan kepada semua 20 Universiti Awam (UA) di seluruh negara pada tahun depan dengan sasaran jumlah 200 pelajar.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga sedang mengusahakan untuk mendapat peruntukan daripada kerajaan dan pendanaan daripada pihak luar bagi menjamin kelestarian program itu.
Menurut beliau, pihaknya juga akan membantu dari segi meningkatkan kebolehpasaran graduan siswa SULUNG melalui kerjasama dengan pihak industri bagi memastikan mereka mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik sebaik tamat pengajian nanti.
“Ia berhasrat supaya para graduan SULUNG ini nanti dapat berdikari dan mengubah kehidupan keluarga mereka kepada yang lebih baik.
“Kepada pelajar yang terpilih sebagai siswa SULUNG bagi kohort pertama ini, saya ucapkan selamat maju jaya dan selamat menjalani kehidupan sebagai mahasiswa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program SULUNG Dan Penyampaian Surat Tawaran Program Penajaan KPT di Universiti Tun Hussein Onn di sini hari ini.
Program SULUNG merupakan lontaran cadangan oleh Noraini untuk melaksanakan secara rintis di mana pelaksanaannya menanda aras beberapa contoh program yang hampir serupa di negara luar seperti program “First in Family” di United Kingdom dan Australia, dan “First-Generation College Student” di Amerika Syarikat (AS).
Program ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada generasi pertama dalam kalangan keluarga B40, yang belum ada ahli keluarga melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan ke atas untuk menyambung pengajian mereka terutama pelajar B40 yang cemerlang tetapi kurang berkemampuan untuk masuk ke institusi pengajian tinggi.
